HomeTeknologiSaintis Korea Selatan cipta beras daging di makmal

Saintis Korea Selatan cipta beras daging di makmal

PENYELIDIK di Korea Selatan telah berjaya memasukkan sel daging ke dalam bijirin beras mentah untuk mencipta apa yang mereka percaya sebagai sumber protein yang mampan, berpatutan dan mesra alam. ‘Beras daging’ ini adalah produk pertama seumpamanya, kata Profesor Jinkee Hong dari Universiti Yonsei di Seoul, yang mengetuai penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Matter bulan ini.

Bijirin kaya protein ini, yang kelihatan seperti beras merah jambu yang gebu, disalut dengan gelatin ikan yang membolehkan otot daging lembu dan sel lemak daging melekat pada bijirin. Kemudian, para penyelidik memasukkan otot lembu dan sel stem lemak ke dalam biji beras yang dibiarkan untuk dikultur dalam piring petri selama sembilan hingga 11 hari.

Bijirin beras berongga dan mempunyai struktur yang teratur yang membolehkan ia menyediakan perancah padu untuk menempatkan sel-sel yang berasal dari haiwan. Bijirin beras, yang mempunyai insiden alergi yang rendah, mempunyai molekul yang boleh membantu menyuburkan dan mendorong pertumbuhan sel-sel baharu ini, menjadikannya sumber yang ideal untuk hidangan pengganti daging ini, lapor Sputnik.

“Bayangkan memperoleh semua nutrien yang kita perlukan daripada beras protein yang dikultur sel,” kata pengarang utama Sohyeon Park pada Rabu lalu. “Beras sudah mempunyai tahap nutrien yang tinggi, tetapi penambahan sel daripada haiwan ternakan boleh meningkatkannya lagi.”

“Kami biasanya memperoleh protein yang kami perlukan daripada ternakan, tetapi pengeluaran ternakan menggunakan banyak sumber dan air serta membebaskan banyak gas rumah hijau,” kata Park.

Bagi setiap 110 gram protein yang dihasilkan, beras daging lembu dianggarkan mengeluarkan kurang daripada 6.27 kilogram (kg) CO2, manakala daging lembu mengeluarkan hampir 50kg. Kosnya juga jauh berbeza: beras daging boleh berharga kira-kira AS$2.23 (RM10.52) sekilogram, manakala harga daging lembu sekitar AS$14.88 (RM70.20) kg. Dan menurut data PBB, penternakan ternakan bertanggungjawab untuk 6.2 bilion tan metrik CO2 memasuki atmosfera setiap tahun.

Para penyelidik mendapati bahawa beras mereka mempunyai 8 peratus lebih protein dan 7 peratus lebih lemak daripada beras biasa. Beras juga lebih pejal dan rapuh, dan berbau seperti daging lembu dan badam.

“Apabila dimasak, beras mengekalkan rupa asalnya tetapi membawa gabungan aroma yang unik, termasuk sedikit kekacang dan umami yang merupakan ciri daging.

“Walaupun ia tidak betul-betul dapat meniru rasa daging lembu, ia menawarkan pengalaman rasa yang menyenangkan dan baharu.

“Kami mencubanya dengan pelbagai bahan dan dipadankan dengan pelbagai hidangan,” kata Hong.

Walaupun beras daging lembu mempunyai risiko keselamatan makanan yang rendah dan agak mudah diproses, penyelidik ingin mencari jalan untuk meningkatkan nilai pemakanan beras tersebut sebelum boleh dipasarkan secara komersil.

“Saya tidak menjangkakan sel-sel tumbuh dengan baik dalam beras.

“Sekarang saya melihat banyak kemungkinan untuk makanan hibrid berasaskan bijirin ini. Ia suatu hari nanti boleh menjadi bantuan makanan untuk kebuluran, catuan tentera, atau makanan angkasa lepas,” kata Park.

Author

Pilihan Editor