HomeBeritaATM aktifkan ‘Tabung Tragedi Lumut 24’

ATM aktifkan ‘Tabung Tragedi Lumut 24’

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan ‘Tabung Tragedi Lumut 24’, susulan tragedi nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 wira negara pada 23 April lalu.

Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan, penubuhan tabung itu bertujuan memudahkan orang ramai menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa, dan akan diaktifkan mulai Isnin sehingga akhir bulan Jun depan.

Menurutnya, sumbangan itu boleh dihulurkan terus secara dalam talian ke akaun Affin Bank Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) bernombor 100040001752.

Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh menyumbang melalui cek atas nama ‘Tabung Kebajikan Angkatan Tentera’ dan diserahkan kepada Sel Kebajikan, Cawangan Staf Am, Markas ATM.

“Orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian dengan menyertakan ‘Tabung Tragedi Lumut 24’ sebagai rujukan.

“Tabung ini bertujuan memudahkan warga ATM dan orang ramai menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa, bagi membantu meringankan beban yang dipikul setelah kehilangan ahli keluarga tercinta.

“Segala sumbangan orang ramai kepada keluarga Perwira Tragedi Lumut 24 didahului dengan ucapan terima kasih dan semoga semuanya mendapat kebaikan serta rahmatNya,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyan lanjut, hubungi talian 03-40131023 .

Terdahulu, kerajaan telah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada keluarga 10 mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter berkenaan.

Sebelum ini, kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi Selasa, sebelum kedua-duanya dilapor bertembung ketika menyertai formasi penerbangan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Perbarisan TLDM ke-90.

Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban di lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat dikongsi TLDM, tujuh kru yang menaiki Pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Muhammad Faisol Tamadun; Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.

Tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Author

Pilihan Editor