ISKANDAR PUTERI: Cubaan menyeludup 22 tan karkas babi bernilai hampir RM600,000 ditumpaskan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof, berkata, muatan dari Singapura itu dikesan semasa tahanan dibuat ke atas sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pada Ahad lalu..
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita turut mendapati konsainan tersebut tidak memiliki sebarang dokumen seperti Permit Import MAQIS dan Sijil Kesihatan Veterinar.
“Oleh itu, perkara tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) Akta yang sama kerana mengimport tanpa permit import MAQIS.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada Jumaat, lapor Sinar Harian.
Sebagai rekod, pihak MAQIS turut menahan seorang pemandu lori berusia 29 tahun dan kelindan berusia 27 tahun.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka dibebaskan setelah keterangan dan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam masa sama pihak MAQIS sentiasa menjalankan penguatkuasaan undang-undang yang diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.