HomeBeritaMahasiswa Sabah desak kerajaan selesaikan krisis bekalan air

Mahasiswa Sabah desak kerajaan selesaikan krisis bekalan air

PUTRAJAYA: Puluhan tahun selepas Sabah merdeka dan bergabung dalam Persekutuan Malaysia, rakyat negeri ini masih dibelenggu dengan masalah asas, khususnya isu bekalan air yang berpanjangan. Krisis ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian rakyat, malah turut memberi kesan negatif kepada mahasiswa yang terpaksa berdepan dengan gangguan bekalan air yang kerap, tekanan air rendah, dan kualiti air yang tidak memuaskan.

Dalam satu memorandum yang dikemukakan oleh Sekretariat Kami Mahu Air, mahasiswa dan rakyat Sabah mendesak agar masalah ini diselesaikan segera oleh pihak berwajib. “Kerajaan telah bertukar ganti daripada UMNO ke Warisan dan kini Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta kerajaan negeri masih gagal menangani krisis air ini,” menurut memorandum tersebut. Mereka menyatakan bahawa kelemahan pengurusan dan penyelewengan dana telah menyebabkan rakyat terus menderita tanpa bekalan air yang mencukupi.

Memorandum itu turut menegaskan bahawa dana yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan bekalan air telah disalahgunakan, menyebabkan projek-projek penting tergendala atau tidak mencapai matlamat. Karenah birokrasi yang melampau turut memperlahankan usaha untuk memperbaiki keadaan ini. Keadaan ini jelas menunjukkan kegagalan pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Sekretariat Kami Mahu Air mengemukakan enam tuntutan utama dalam memorandum mereka: memastikan bekalan air yang mencukupi tanpa sebarang alasan, mendesak campur tangan segera kerajaan persekutuan dalam krisis air, menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap penyelewengan dana, menyelesaikan segala kepincangan dan karenah birokrasi yang menghalang penyelesaian masalah air, meningkatkan transparansi keadaan sebenar krisis air di Sabah, dan menggesa rombakan penuh terhadap individu-individu yang gagal menguruskan bekalan air.

“Krisis air yang berpanjangan ini bukan sahaja menjejaskan rutin harian, tetapi juga memberi kesan kepada kesihatan mental masyarakat,” kata memorandum tersebut. Sekretariat Kami Mahu Air memberi amaran bahawa mahasiswa dan rakyat Sabah tidak akan berdiam diri jika masalah ini tidak diselesaikan segera. Mereka bersedia untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran dan mengambil tindakan drastik demi memastikan hak mereka tidak lagi diabaikan.

Memorandum ini mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi mahasiswa termasuk Demokrat Universiti Kebangsaan Malaysia, Kongres UM, Mahasiswa Demokrasi Malaysia (MDM), Suara Siswa Universiti Malaya, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Suara Pelajar UiTM, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), dan banyak lagi. Dengan ini, Sekretariat Kami Mahu Air menuntut tindakan segera dan konkrit daripada pihak berwajib untuk memastikan rakyat Sabah dapat menikmati bekalan air yang mencukupi dan bersih. Masa untuk beralasan telah tamat, kini adalah masa untuk bertindak. Hak rakyat Sabah tidak boleh dikompromi.

Author

Pilihan Editor