HomeBeritaSidang media MHO: Permohonan perkembangan kes penipuan pelaburan mata wang kripto Gigamax

Sidang media MHO: Permohonan perkembangan kes penipuan pelaburan mata wang kripto Gigamax

Kuala Lumpur, 24 Jun 2024 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini mengadakan satu sidang media untuk memberikan kesedaran serta perkembangan semasa berkenaan penipuan pelaburan mata wang kripto aplikasi Gigamax yang telah mengakibatkan kerugian kepada sejumlah besar mangsa.

MHO telah menerima 99 aduan daripada mangsa yang telah terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto Gigamax, dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,864,861.12.

Mangsa-mangsa melaporkan bahawa mereka tertarik dengan janji keuntungan sebanyak 1% setiap hari dari jumlah pelaburan pokok mereka. Keyakinan mereka diperkukuhkan melalui video promosi dan persidangan yang dianjurkan oleh pertubuhan tersebut. Setelah menyertai pelaburan, mereka dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan oleh individu yang menggelar dirinya sebagai ‘leader’, yang turut menawarkan kelas-kelas trading mata wang kripto.

Permasalahan timbul apabila mangsa-mangsa tidak dapat mengeluarkan keuntungan atau modal mereka. Mereka diberikan pelbagai alasan tidak munasabah, termasuk dakwaan bahawa keuntungan telah dipindahkan ke aplikasi lain dengan pulangan lebih rendah, dan bahawa aplikasi Gigamax mengalami masalah sistem. Mangsa juga disarankan membeli kad Visa berharga USD500 untuk memudahkan pengeluaran, namun kebanyakan mereka tidak menerima kad tersebut.

Pada penghujung tahun 2023, 99 mangsa telah membuat laporan polis. Namun, sebahagian laporan tersebut telah diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) dan dirujuk kepada Bank Negara Malaysia. Mangsa-mangsa berpendapat bahawa ini tidak adil kerana penipuan ini jelas melibatkan individu berpengaruh yang masih bebas, sedangkan mereka yang menjadi mangsa mengalami kerugian besar.

Menurut undang-undang yang berkaitan, seperti Kanun Keseksaan, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, tindakan yang dilakukan oleh pertubuhan ini adalah menyalahi undang-undang. Skim pelaburan yang tidak mempunyai kelulusan dan berdaftar dengan pihak berkuasa adalah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 137(1) dan (2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Sidang media ini juga menyaksikan mangsa-mangsa hadir bersama untuk menyerahkan surat mohon perkembangan semasa kepada JSJK, memohon maklum balas berkenaan aduan dan laporan yang telah mereka buat. Pihak MHO berharap agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab atas penipuan ini, demi keadilan kepada semua mangsa yang terlibat.

Author

Pilihan Editor