HomeBeritaPenguasaan digital dalam kalangan guru meningkat

Penguasaan digital dalam kalangan guru meningkat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) melaporkan bahawa tahap kecekapan digital dalam kalangan guru di seluruh negara terus bertambah baik dengan peningkatan jumlah pendidik pada kategori pertengahan tahun ini.
Timbalan Menteri, Wong Kah Woh, menyatakan bahawa analisis terkini mengenai kecekapan digital guru mencatatkan 74.73 peratus atau 84,818 orang berada pada tahap pertengahan sehingga 30 Jun lalu.
Beliau juga memaklumkan bahawa jumlah guru pada tahap asas menunjukkan penurunan kepada 23.53 peratus atau 84,818 orang, manakala 1.37 peratus atau 6,246 lagi berada di tahap lanjutan.
“Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan tahun lalu menekankan beberapa teras atau bahagian untuk meningkatkan kualiti dan prestasi, termasuk murid yang fasih digital, pendidik yang cekap digital dan pembangunan infrastruktur.
“Oleh itu, setiap tahun KPM melakukan penilaian kecekapan digital ke atas warga pendidik bagi memastikan mereka memiliki tahap kompetensi yang tinggi,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai isu kemiskinan digital dalam kalangan guru pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Kajian Tahap Kompetensi Digital Guru yang dilaporkan dalam dokumen Dasar Pendidikan Digital 2023 mendapati hanya 2.2 peratus guru berada pada tahap lanjutan, manakala 39.9 peratus berada pada tahap pertengahan dan 57.9 peratus pada tahap asas.
Ahli Parlimen Taiping itu menambah bahawa Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melaksanakan latihan kecekapan digital bagi memastikan guru yang dihantar ke negeri masing-masing kompeten dan mampu mengadaptasi teknologi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Katanya, latihan tersebut menjurus kepada domain kecekapan pembelajaran digital seperti yang digariskan oleh ‘The European Framework for the Digital Competence of Educators’.
“Semua domain tersebut diterjemahkan dalam bentuk kurikulum program pendidikan di IPGM dan KPM komited untuk merealisasikan teras seperti yang dinyatakan dalam Dasar Pendidikan Digital.
“Selain itu, sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan khusus untuk membangunkan pendidikan digital dan mencapai matlamat yang terkandung dalam dasar tersebut,” katanya.
Sementara itu, Kah Woh memaklumkan sebanyak 68,056 unit komputer riba telah diedarkan kepada 3,455 sekolah di seluruh negara, dengan kos bernilai RM424.95 juta pada tahun lalu.
“Sebanyak 69,604 unit komputer riba pula telah diagihkan kepada 3,885 sekolah di seluruh negara, dengan kos bernilai RM451.41 juta pada tahun ini,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor