CYBERJAYA: Kenderaan membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, sekitar jam 8.22 pagi tadi.
Kehadiran Anwar ke Istana Negara itu dipercayai bagi mempersembahkan senarai Jemaah Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Susulan itu, pembentukan barisan Kabinet baharu dijangka diumumkan selewat-lewatnya hari ini bagi membolehkan Jemaah Menteri mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini.
Ia dipercayai bagi membolehkan Kabinet Kerajaan Perpaduan itu dapat dibentuk segera berikutan Yang di-Pertuan Agong dijangka ke luar negara pada Sabtu ini, lapor Berita Harian pada Jumaat.
Penantian seluruh rakyat Malaysia berhubung barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang kini disertai tiga gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal terjawab berikutan Anwar sebelum ini memaklumkan, pengumuman mengenainya akan dibuat setelah mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.