KUALA LUMPUR: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa ketiga akan dibayar kepada penerima golongan B40 sebelum sambutan Hari Raya Haji.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran tersebut melibatkan peruntukan melebihi RM2 bilion yang memanfaatkan lapan juta penerima di seluruh negara.
“Selain itu, (bayaran) e-Tunai Belia Rahmah RM 200 dalam kepada belia (berusia) 18 sehingga 21 tahun akan disalurkan sebelum minggu ketiga bulan ini,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN- Parit Sulong) yang ingin tahu pembaharuan dibuat kerajaan dalam pendekatan dan tatakelola undang-undang atau peraturan untuk mengekang ketirisan serta kebocoran wang awam selain sama ada kerajaan akan meneruskan pelaporan perbelanjaan dan pemantauan Belanjawan Negara.
Pada masa sama, beliau berkata dalam usaha mengekang ketirisan daripada terus berlaku, antara tindakan yang diambil kerajaan termasuk memastikan perolehan kerajaan dibuat secara telus dan terbuka.
Katanya, kerajaan juga melaksanakan pemberian subsidi lebih bersasar yang berbeza dengan sebelum ini, apabila golongan kaya turut menikmati pelbagai subsidi termasuk subsidi bil elektrik.
“Kerajaan juga mula menamatkan unsur monopoli sepertimana dwirangkaian 5G dan juga import makanan yang akan menyebabkan harga lebih rendah daripada beberapa tahun dahulu,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata perbahasan Laporan Ketua Audit Negara dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) di Parlimen adalah antara langkah kerajaan untuk mengekang ketirisan. – BERNAMA