MIRI: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di sungai belakang kilang Daiken, Kuala Baram di sini pada Ahad malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 11 malam, sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong ke lokasi.
“Setiba di lokasi mendapati ada mayat seorang lelaki dewasa terapung di sungai. Pasukan bomba kemudian mengangkat mayat berkenaan dan membawa ke tebing dengan bantuan sebuah jengkaut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, identiti mayat itu belum dikenal pasti namun dianggarkan berusia dalam lingkungan 20-an dan merupakan warga tempatan.
Katanya, mayat itu kemudian diserahkan kepada pihak polis dan telah dibawa ke bilik mayat Hospital Miri untuk proses bedah siasat.