KUALA LUMPUR : Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong penuh Pindaan Perlembagaan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Armada bersetuju mengenai Rang Undang-Undang (RUU) itu yang akan dibentangkan di Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat, Julai ini.
“Untuk Akta Anti Lompat Parti, Armada bersetuju dengan pendirian parti (Bersatu) agar perkara ini diperhalusi dan dibentangkan sebelum PRU15.
“Kita ternanti juga draf terakhir pindaan itu namun apa yang diputuskan Kabinet, kita tak boleh komen lanjut tetapi secara prinsipnya, kita bersetuju supaya kestabilan politik dapat kita kecapi semula selepas PRU,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Armada Bersatu di Pejabat Perikatan Nasional, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu berkata, Armada mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi, selepas menarik diri daripada parti yang disertainya, sejak November tahun lalu.
Malah katanya, tindakan Mohamaddin keluar parti pada Selasa lalu itu tidak menjejaskan struktur organisasi terbabit malah tidak berasa sebarang kehilangan dalam parti.
“Kita tidak menghalang sama sekali (untuk keluar parti). Sebenarnya, tidak kurang sedikit pun kekuatan Bersatu di Lahad Datu.
“Bagi saya, terima kasih kepada Datuk Mohamaddin atas usaha menyertai parti dan kami tidak rasa kehilangan pun pada parti,” katanya sinis.