HomeMV+PendapatTiba masa boikot dadah, ketum pula

Tiba masa boikot dadah, ketum pula

 

SEBELUM anda terus membaca, penulis menegaskan bahawa tulisan ini tidaklah menolak perjuangan pembebasan Palestin daripada kekejaman Israel.

Usaha memboikot produk tertentu yang dikatakan ada kaitan dengan negara haram itu wajar diberi pujian namun biarlah berpada-pada.

Jika disorot kembali ini bukanlah kali pertama kempen boikot ini digerakkan sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.

Kira-kira 10 tahun lalu restoran makanan segera terbabit juga pernah berhadapan dengan kempen boikot namun ia tidak berpanjangan.

Jika dibandingkan dengan situasi sekarang boleh dikatakan kempen kali ini paling berjaya.

Namun, kini ia seolah sudah melampaui batas hingga kes ugutan terhadap pelanggan sebuah restoran makanan segera.

Tidak kurang juga di media sosial ada yang menyamakan mereka yang makan di restoran-restoran makanan segera ini dengan anjing.

Situasi seperti ini tidak sepatutnya berlaku sedangkan mereka yang dihina dan diugut itu adalah saudara seagama.

Di sini kita lihat dalam menyahut kempen boikot ia bukan sekadar dengan emosi tetapi perlu juga berhemah.

Setiap orang ada alasannya dan setiap daripada kita perlu menghormatinya.

Masih berkisar tentang kempen boikot, penulis ingin menarik perhatian atas semangat yang tinggi diberikan oleh majoriti rakyat Malaysia.

Tanpa semangat yang kental itu, tentu sahaja kempen ini tidak akan berpanjangan hingga kini.

Cuma semangat ini disia-siakan dalam usaha kempen menolak benda haram yang lain seperti penyalahgunaan dadah dan juga ketum.

Lihat kejadian di Kuantan seperti yang dilaporkan oleh beberapa agensi berita, individu yang ditahan polis kerana mengugut pelanggan sebuah restoran yang diboikot memiliki rekod berkaitan dadah.

Punyalah tinggi semangatnya hingga sanggup membuat ugutan sedangkan ia menyalahi undang-undang.

Tidak kurang juga ramai anak-anak Melayu segenap peringkat umur di luar sana mengambil air ketum.

Majoriti kaum yang menyalahgunakan dadah dan mengambil ketum ini juga anak-anak Melayu.

Golongan ini turut sama dalam kempen boikot tetapi sepanjang tempoh itu mereka tidak pula memboikot benda haram yang merosakkan akal dan tubuh badan mereka.

Sudah lama negara kita berhadapan dengan masalah ini dan ia tidak pernah selesai.

Ini kerana permintaannya sentiasa ada dan mereka yang mengambilnya tidak pula mahu memboikot atau semangatnya tidak cukup kuat ke arah itu.

Bayangkan jika semangat kempen boikot produk Israel ini diterapkan bagi memboikot dadah atau ketum, secara logiknya tentu negara ini telah bebas daripada benda haram ini.

Justeru itu, penulis menyeru rakyat Malaysia terutama yang bersemangat memboikot agar menolak secara total dadah, ketum atau benda haram lain yang memudaratkan.

Tolak juga anasir-anasir yang mahu memecahbelahkan keharmonian pelbagai kaum dan agama yang telah lama kita nikmati di negara ini.

Ayuh kita bina generasi rakyat Malaysia yang sihat dan bebas daripada sebarang pengaruh negatif serta bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama.

TAN YUSOF
Pembaca

*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor