BAGAN SERAI: Rakyat diseru supaya menjadikan bidang pertanian sebagai satu bidang ekonomi yang baharu seperti yang telah dilakukan di negara-negara maju ketika ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Beliau berkata usaha itu antara lain bakal menambah pendapatan keluarga dan negara jika dilaksanakan dengan perancangan terperinci.
“Ini dapat melonjakkan kemajuan negara dalam bidang pertanian…selain memastikan sekuriti makanan terjamin,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gunung Semanggol/Selinsing di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara kerajaaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
Nik Mohammad Zawawi berkata pihak universiti yang mempunyai penyelidikan dalam bidang penternakan, perikanan dan pertanian juga perlu turut serta dalam menghasilkan penyelidikan yang boleh membekalkan sekuriti makanan tercapai dalam tempoh yang sewajarnya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan tidak bercadang mengimport ayam lagi kerana bekalan ayam dijangka mencukupi.
“Semasa COVID-19 permintaan tidak ada dan selepas COVID-19 sudah ada permintaan, hotel telah buka dan permintaan tinggi, jadi penternak mula ternak dan kemungkinan tiba satu masa kita boleh eksport balik sebab penternak kita sudah mula masuk balik dalam industri,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah berkolaborasi dengan beberapa agensi kerajaan seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk menjalankan aktiviti penternakan ayam secara komersial.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM800 juta untuk melaksanakan pembinaan reban ayam, kilang penetasan anak-anak ayam seperti di PPK di Johor, Perak, Kelantan dan Selangor supaya bekalan ayam tidak lagi perlu diimport,” katanya. – BERNAMA