HomeBeritaAgama jadi modal perdaya mangsa rogol - Polis

Agama jadi modal perdaya mangsa rogol – Polis

SHAH ALAM: Hanya kerana bertanya mengenai masalah hukum agama, remaja perempuan 14 tahun terjebak jerat seorang penceramah bebas bergelar ustaz sehingga dipercayai rogol.

Remaja terbabit dipercayai berkenalan dengan lelaki berusia 30-an itu sejak Mei lalu, selepas tertarik dengan syarahan secara bersemuka menerusi media sosial.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, berdasarkan siasatan awal, penceramah bebas berkenaan dilaporkan sudah berkahwin.

“Suspek adalah penceramah bebas yang turut memberikan ceramah di media sosial. Jadi, dari situ mereka mula mengenali satu sama lain dan perkenalan terjalin sejak Mei tahun lalu,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat mangsa bahawa wujud unsur ugutan membabitkan beberapa hubungan intim sepanjang tempoh perkenalan yang dipercayai berlaku di beberapa lokasi di Perak dan Kuala Lumpur.

“Lokasinya berbeza dan kita tidak tahu semasa berlaku di sana (dua buah lagi negeri) itu bagaimana (sama ada wujud ugutan). Kita masih merakam percakapan suspek.

“Siasatan juga masih dijalankan sama ada disebabkan perwatakan baik membuatkan mangsa percaya kepada suspek sehingga disyaki berlakunya kejadian berkenaan (rogol). Namun, suspek ini sudah berkahwin,” katanya.

Sasikala turut memaklumkan, tiada laporan baharu diterima dari mana-mana mangsa setakat ini.

“Sejurus selesai, kita serahkan suspek kepada Polis Perak susulan terdapat laporan di sana,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Media sebelum ini melaporkan seorang penceramah bebas ditahan, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Se­langor, kira-kira jam 5 petang, Isnin lalu selepas disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun.

Author

Pilihan Editor