KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap dapat membawa masuk pakar psikologi dalam usaha meningkatkan kekuatan mental pemain ketika beraksi di bawah tekanan yang hebat di gelanggang.
Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones berkata, adalah penting untuk menambah pakar psikologi dalaman kerana individu terbabit boleh membantu 80 pemain senior serta melengkapkan khidmat pakar daripada Institut Sukan Negara (ISN) pada masa ini.
“Sudah tentu dalam perancangan saya untuk ada seorang (pakar psikologi), tetapi saya perlu mendapatkan kelulusan bajet dahulu.
“Walaupun pada masa ini kita menggunakan pakar psikologi daripada ISN tetapi bagi saya, saya ingin memperkuatkannya kerana kita ada ramai pemain, jadi saya fikir bagus mempunyai seorang lagi untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Baru-baru ini, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM Rexy Mainaky menggesa pemain beregu lelaki supaya membuang ‘sindrom’ kalah dalam separuh akhir dan final sesuatu kejohanan.
Bingung dengan persembahan ditonjolkan atlet itu, Rexy berkata wakil negara terutamanya gandingan nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu menewaskan pemain terbaik pada peringkat awal pertandingan, namun sering tersingkir apabila mara ke separuh akhir.
Jones juga berpendapat bahawa seorang pakar psikologi sudah mencukupi dalam BAM selagi individu berkenaan dapat menyesuaikan diri dan boleh berkomunikasi dengan baik bersama pemain.
Mengenai perkembangan lain, Jones mengesahkan jurulatih perseorangan wanita yang baru dilantik James Chua akan memulakan latihan dengan pemain minggu depan berikutan bekas ketua jurulatih Indra Wijaya meninggalkan BAM untuk melatih jaguh perseorangan lelaki Malaysia Lee Zii Jia yang kini pemain profesional negara.
Dalam pada itu, Jones berkata mereka kini dalam fasa akhir melengkapkan proses pengambilan jurulatih beregu yang baharu bagi mengisi kekosongan jawatan jurulatih beregu lelaki dan beregu campuran yang sebelum ini masing-masing dipegang oleh Flandy Limpele dan Paulus Firman.
“Kami memberi jaminan sesiapa yang dipilih akan menjadi pilihan yang baik dan pastinya membantu kita meraih pingat pada Sukan Olimpik 2024 di Paris nanti,” katanya.
Pada 1 April lepas, Flandy membuat keputusan mengejut meninggalkan BAM apabila tidak menyambung kontrak selepas dua tahun manakala sebulan kemudian, Paulus meletakkan jawatan untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, mereka akan meneruskan tradisi menghantar skuad remaja bagi mewakili negara ke Sukan SEA 2023 di Kemboja yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 16 Mei.
Ditanya sama ada BAM berhasrat menurunkan pemain yang pernah beraksi pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam Mei lepas, Kenny berkata beliau akan menyerahkan perkara itu kepada Jones, Rexy dan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Wong Choong Hann kerana temasya itu mungkin bertembung dengan kejohanan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China. – BERNAMA