HomeBeritaBanjir di Baling, mayat dua sekeluarga ditemukan berpelukan

Banjir di Baling, mayat dua sekeluarga ditemukan berpelukan

BALING: Mayat dua daripada tiga sekeluarga yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang melanda Kampung Iboi, Kupang di sini petang semalam, ditemukan pasukan penyelamat pada 9.30 pagi tadi.

Dua mangsa tersebut, Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan, ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka yang dihanyutkan arus deras.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata operasi mencari mangsa bermula pukul 8 pagi yang dipecahkan kepada tiga pasukan, sebelum menemukan kedua-dua mayat pada 9.30 pagi

“Kedua-dua mangsa ditemukan di bawah timbunan kayu, mungkin mangsa hanyut bersama bongkah kayu dan tersangkut di kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian banjir di Kampung Iboi di sini hari ini.

Katanya mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan sempurna dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata operasi mencari seorang lagi mangsa iaitu Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, masih berjalan dan pihaknya percaya mangsa mungkin berada di kawasan berhampiran mayat pertama dan kedua yang ditemukan.

“Kami percaya mangsa ketiga ini berada dalam radius yang sama. Kami akan menggunakan bantuan anjing pengesan Unit K9 dan mesin yang bersesuaian bagi mengangkat bongkah kayu,” katanya.

Beliau berkata sekiranya mangsa gagal ditemukan dalam radius 100 meter dari lokasi terakhir, remaja itu kemungkinan masih hidup dan usaha pencarian akan diperluaskan ke kawasan lebih besar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam sebuah rumah dilaporkan dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam. – BERNAMA

Author

Pilihan Editor