HomeBeritaBanjir di Baling: Warga emas berpaut pada pokok elak dibawa arus deras

Banjir di Baling: Warga emas berpaut pada pokok elak dibawa arus deras

BALING: Seorang wanita warga emas yang dihanyutkan air dalam kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di sini petang semalam, sempat berpaut pada sebatang pokok pinang sebelum diselamatkan.

Mangsa, Hasnah Ismail, 58, berkata sebaik melihat air naik dengan cepat dan masuk ke dalam rumah, dia dan suami memanjat sebatang pokok rambutan berhampiran rumah mereka.

“Bila nampak pokok rambutan macam nak tumbang, mak cik dan pak cik cuba berpaut pada kayu balak hanyut, tapi tangan pak cik terlepas dan dihanyutkan arus banjir.

“Mujurlah dia sempat mencapai ranting buluh, mak cik pula hanyut bersama kayu balak sebelum berpaut pada pokok pinang…lebih kurang sejam juga kami kesejukan di dalam air menunggu sehingga pasukan penyelamat datang menyelamatkan kami kira-kira pukul 8 malam tadi,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai dekat sini, malam tadi.

Menurutnya, dia cuba menjerit meminta pertolongan namun tiada siapa yang mendengar dan hanya mampu menunggu diselamatkan, malah suaminya, Che Nai Isa, 59, juga hanya berpaut pada ranting buluh.

“Mak cik hanya ingat mati masa itu, tak nampak siapa yang boleh tolong…namun rasa bersyukur bila nampak bot penyelamat datang dan selamatkan kami berdua.

“Sambil menahan sejuk di dalam air banjir, belakang mak cik beberapa kali berlanggar dengan kayu balak hanyut, mujur kami berdua tak cedera,” katanya.

Hasnah berkata dia yang sudah tinggal di Kampung Padang Empal sejak kecil, sering menyaksikan kejadian banjir di situ namun banjir yang berlaku kali ini adalah yang terburuk.

“Selalu kalau air naik, sampai buku lali atau betis, ini kali pertama naik sampai ke bumbung rumah, tak tau apa nasib 30 ekor kambing di dalam kandang, barang dalam rumah semua tak sempat diselamatkan termasuklah dua motosikal.

“Duit tunai kira-kira RM2,000 hasil jualan kambing baru-baru ini pun dihanyutkan air banjir,” katanya.

Tambahnya, mujurlah anaknya, Nor Alia, 20, seorang kurang upaya sejak lahir telah diselamatkan oleh seorang saudara lelakinya lebih awal.

“Dia gendong anak saya walaupun masa itu air sudah naik ke paras leher…alhamdulillah dua-dua selamat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Siti Mariam Abdul Isa, 70, berkata suaminya yang lumpuh separuh badan sejak sembilan tahun lepas sudah terendam dalam air banjir sewaktu dia bersama anak dan cucu lelakinya sedang sibuk memindahkan barang ke tempat lebih tinggi.

“Kami terlupa yang pak cik tidur di atas tilam di lantai…bila sedar sahaja terus kami bertiga angkat dan bawa dia ke tingkat atas rumah, dia menggigil juga sebab sejuk terendam dalam air banjir.

“Sebelum air naik, mak cik suapkan nasi untuk pak cik, tak sangka air naik cepat sangat, anak dan cucu masa tu sedang angkat motosikal yang baru dibeli sebulan lepas ke tingkat atas rumah. Tapi dengan motosikal itu sekali tenggelam dalam banjir,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Siti Hajar Said, 32, berkata dia tidak sempat menyelamatkan sebarang harta bendanya, termasuk kucing dan arnab kesayangan anak-anaknya juga gagal dijumpai dalam kejadian itu.

“Hujan turun pada 4 petang, dalam pukul 5 petang air mula naik, tak sampai setengah jam air sudah naik sampai bumbung rumah.

“Kesemua enam buah rumah yang terletak dekat dengan sungai, semuanya tenggelam. Kali terakhir banjir di sini, sebelum raya puasa lepas, tapi tidak seteruk banjir kali ini,” katanya. – BERNAMA

Author

Pilihan Editor