HomePendidikanKarnival Robotik Bangi 2022 tarik lebih 600 peserta

Karnival Robotik Bangi 2022 tarik lebih 600 peserta

BANGI: Karnival Robotik yang julung kali diadakan di Kompleks Beli-belah Evo Mall di Bangi dari 16 hingga 17 Julai telah mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila merekodkan 630 peserta berdaftar, termasuk kumpulan-kumpulan pelajar daripada lima buah sekolah tempatan.

Acara yang bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai robotik di kalangan kanak-kanak berumur 7 hingga 17 tahun, dan ia dianjurkan oleh JAZRO dan Evo Mall. Dianggarkan kira-kira 2,000 pengunjung, termasuk ibu bapa dan individu, datang ke acara itu.

Karnival yang pertama kali diadakan ini di Bangi itu menarik perhatian Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, yang hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis penutup.

Beliau memuji penganjur atas inisiatif mereka mengadakan acara itu dan berharap acara serupa dapat dianjurkan pada masa akan datang, terutamanya yang mampu beri peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga B40 untuk belajar tentang robotik.

Pengasas bersama JAZRO, Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, pihaknya mahu membawa kanak-kanak lebih dekat dengan teknologi digital melalui aktiviti-aktiviti penglibatan secara langsung.

“Kami jadikan proses pembelajaran menyeronokkan, dan pendekatan ini berkesan terhadap kanak-kanak yang ambil bahagian dalam pertandingan, bengkel, dan aktiviti lain semasa Karnival Robotik. Kami teruja dengan sambutan positif ini.

“Karnival Robotik Bangi telah memberi kami inspirasi untuk terus anjurkan acara yang sama untuk memupuk kesedaran yang lebih tinggi mengenai robotik di kalangan kanak-kanak, termasuk mereka dari keluarga B40, pada masa akan datang,” jelas Ir. Dzulfarqeish.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, Mohd Fauzi Ibni Hajar menyatakan bahawa pihaknya bersyukur kerana acara yang dianjurkan sangat berjaya.

“Melihat kepada sambutan yang luar biasa ini daripada komuniti kejiranan, kami percaya bahawa acara seperti ini harus diadakan lebih kerap selaras dengan misi kami untuk menjadi ‘pusat membeli-belah mesra komuniti’.

“Kami tahu bahawa kami dapat memenuhi keperluan penduduk Bangi khususnya untuk mengadakan sebarang acara berorientasikan pendidikan dan keluarga di premis kami,” katanya.

Selain menyertai pelbagai bengkel dan pertandingan robotik, kanak-kanak, guru, dan ibu bapa juga menikmati pameran oleh D’Virtual Park, MDEC, MyTutor, PETROSAINS, Pickiddo, dan Project Mika.

Author

Pilihan Editor