HomeBeritaKebebasan bersuara ada hadnya - Pakar sosial

Kebebasan bersuara ada hadnya – Pakar sosial

OLEH: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Masyarakat di negara ini perlu menggunakan hak kebebasan bersuara secara bertanggungjawab dan berhenti mempersenda perihal agama, bangsa dan keturunan.

Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, tutur kata, perucapan atau konteks suara yang dilontarkan perlu dibatasi dan dipandu dengan pelbagai norma kehidupan untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku kini ada dalam kalangan masyarakat yang sanggup menggunakan elemen agama, bangsa, keturunan semata-mata untuk memastikan persembahan mereka dilihat kelakar.

Katanya, golongan itu sanggup menggadaikan etika yang menjadi tunjang kepada masyarakat Malaysia yang harmoni sejak merdeka.

“Budaya ini (mempersenda sensitiviti agama, kaum) perlu dihentikan segera kerana dikhuatiri sekiranya tidak dibendung akan mengundang perkara negatif seperti perpecahan dalam masyarakat, konflik dan lebih buruk lagi pertelingkahan antara kaum.

“Perbuatan ini merupakan sesuatu yang tidak sihat dan kita sebagai rakyat di negara yang berpegang teguh pada ciri ketimuran perlu menjaga tatasusila, nilai murni yang menjadi asas kepada keharmonian selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelbagai insiden yang mempersenda mengenai Islam, Melayu dan Bumiputera sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, perkara itu sangat serius dan perlu dibanteras dan memerlukan kerjasama daripada segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Katanya, Malaysia mengamalkan dasar kebebasan bersuara, namun tetap perlu berpandukan peraturan negara ini untuk memastikan tidak berlaku kepincangan atau konflik yang boleh mengundang kepada perkara lebih buruk berlaku.

“Rukun Negara kelima ‘kesopanan dan kesusilaan’ perlu dipegang teguh, justeru kita jangan mudah terikut-ikut dengan budaya yang dipelopori oleh negara Barat sehingga boleh menjejaskan perpaduan di Malaysia.

“Kita tidak mahu perkara sama berlaku di negara ini walaupun ada hak kebebasan bersuara, namun bukanlah untuk mengganggu keharmonian masyarakat,” katanya.

Author

Pilihan Editor