JOHOR BAHRU: Sebanyak 228 ekor lembu telah dikurniakan untuk ibadah korban oleh Keluarga Diraja Johor kepada golongan sasar di negeri ini bersempena Aidiladha.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kurniaan berkenaan diharapkan dapat menceriakan setiap penerima dan keluarga masing-masing.
“Menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Pemangku Raja Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan seluruh Keluarga Diraja Johor atas perkenan mengurniakan 228 ekor lembu kepada Bangsa Johor.
“Patik dan seluruh Bangsa Johor termasuk warga Machap mendoakan Tuanku serta Keluarga Diraja Johor dilindungi Allah, dilimpahi rahmat, kemuliaan serta dikurniakan kesihatan yang baik, dilanjutkan usia serta memerintah Johor dengan makmur dan sejahtera,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini. – BERNAMA