KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berharap sukan angkat berat dapat disenaraikan semula sebagai sukan teras negara dalam usaha memperkukuh lagi aktiviti pembangunan atlet.
Presidennya Datuk Ayub Rahmat berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu mempertimbangkan perkara itu dengan melihat pencapaian dua pingat emas yang disumbangkan kem angkat berat negara setakat ini di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Beliau berkata kejayaan Mohamad Aniq Kasdan menyumbangkan emas pertama Malaysia menerusi kategori 55 kilogram (kg) lelaki dan Muhamad Aznil Bidin menggondol emas kategori 61kg menyaksikan PABM mencapai serta mengatasi sasaran ditetapkan KBS dan MSN iaitu satu emas.
“Jadi apabila sasaran tercapai kita harapkan MSN dan kementerian akan masukkan semula sukan angkat berat sebagai sukan teras bagi melahirkan lebih ramai atlet pelapis yang berpotensi mewakili negara pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Ayub berkata sekiranya angkat berat kembali menjadi sukan teras, PABM akan mendapat keupayaan membentuk pasukan pelapis menerusi peruntukan yang lebih besar iaitu dengan memperluas usaha pencarian bakat seawal di peringkat sekolah.
Angkat berat menjadi antara tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras negara selain sepak takraw dan taekwondo pada 2017, susulan prestasi sukan angkat berat itu yang semakin merosot serta pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping.
Ayub berkata sejak beliau mengambil alih pucuk kepimpinan persatuan, PABM telah banyak melalui pembaharuan terutama dalam menurunkan kes doping dan penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet.
Katanya kesedaran terhadap kesalahan itu dalam kalangan persatuan negeri dan jurulatih juga meningkat berikutan pelbagai bengkel serta semniar yang dianjurkan PABM.
Dalam pada itu, Ayub berkata PABM turut mengharapkan sokongan daripada mana-mana syarikat untuk menjadi penaja bagi menjamin sumbangan kilauan emas yang berterusan di temasya sukan berprestij.
“Angkat berat mungkin sukan tak popular tetapi sukan yang popular selalu tak berikan pingat. Kami minta pada masa akan datang, dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet dan kalau nak emas lagi menerusi sukan seperti ini maka pihak penaja perlu tampil untuk membantu,” katanya.
Sementara itu, beliau mendedahkan sasaran PABM di Sukan Komanwel Birmingham adalah tiga emas dengan sebutir lagi disandarkan kepada Muhammad Erry Hidayat yang akan bersaing dalam kategori 73kg lelaki di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham pada pukul 1.30 pagi nanti waktu tempatan. – BERNAMA