HomeMV+EksklusifLelaki obses cantik anggap kosmetik sebagai seni

Lelaki obses cantik anggap kosmetik sebagai seni

KUALA LUMPUR: Benarlah kata beberapa pengasas kosmetik negara, bukan sahaja wanita tetapi lelaki turut bersaing hebat meneroka bidang kosmetik dan produk penjagaan diri.

Perubahan trend itu dilihat ketara ketika pasca pandemik COVID-19, membawa kebangkitan perniagaan dua cabang bidang yang sebelum ini sinonim hanya dikaitkan dengan kecantikan wanita.

Ramai mungkin belum menyedari artis, selebriti lelaki dalam dan luar negara juga bersolek asas namun tidak berlebihan.

Seorang ustaz selebriti juga tidak lari daripada bersolek, yang mendakwa dirinya sakit terkena sihir, sebelum ini.

Ia kerana bagi menjayakan sebuah filem meskipun sebagai kesan tambahan malah pernah tampil dalam sebuah program hiburan popular tv swasta, dan membuang solekan ketika bersiaran.

Siapa sangka, ada jejaka berjambang anak jati kota metropolitan Kuala Lumpur, Audi Ghazali, 32, sudah serasi dengan dunia solekan kosmetik sejak berusia belasan tahun.

Ibunya sendiri menjadi ilham kepada pemilik kafe Mak Ok Jer! (MOJ) di Wangsa Maju ini untuk bereksperimentasi dengan produk kosmetik dan penjagaan diri supaya tampil lebih yakin, positif serta menghargai diri sendiri.

Audi di MOJ Cafe

Perasaan ingin tahu membuak-buak ketika dia kecil, apabila melihat ibunya tanpa secalit bedak dan bersiap menjadi seorang wanita yang sangat cantik dengan solekan, berbusana indah serta berkasut tumit tinggi jenis stiletto.

Menceritakan semula peristiwa paling tidak dilupakan ketika hampir ‘kantoi’ dengan ibunya yang dipanggil ‘Mummy’, Audi tidak mampu berkata berlebih-lebihan.

“Masa kantoi dengan mummy, tengah pakai blusher (pemerah pipi) pink kemerahan makngah.

“Mummy tanya kenapa pakai blusher mummy, nak jadi perempuan ke, saya jawab taklah, suka tengok,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Justeru, anak kedua daripada empat beradik itu, sanggup mencuba memakai alat solek asas iaitu bedak ibunya, demi mendapat jawapan dan dia temui ia satu kepuasan apabila tampil lebih bergaya dan berperibadi.

“Selepas saya pakai semua itu, saya rasa apa yang mummy saya rasa, keyakinan lebih tinggi.

“Daripada semua itu juga, kita dapat belajar teknik solekan, dan ia lebih kepada seni. Wajah kita sebagai kanvas untuk seni kosmetik ini kerana kadang kala saya akan pinjam muka adik saya untuk bereksperimen.

“Ia juga sebagai terapi diri, yang menenangkan saya, seperti yang kita tahu, membeli-belah juga antara terapi untuk melepaskan tekanan,” katanya

Sejak itu, solekan tidak lekang di wajahnya sehingga hari ini, melainkan waktu tidur sahaja.

Audi

Meskipun personaliti dirinya seorang lelaki berjambang yang suka dengan solekan lebih ‘extra’ seperti bulu mata palsu, pembayang mata, pemerah pipi di wajah, tetapi penampilan itu akan sentiasa berubah mengikut situasi.

“Masa di sekolah dulu pun memang jika bersolek lagi-lagi budak perempuan, ditegur guru tetapi saya jenis lain.

“Saya cuma pakai bedak asas, dan bedak penyamar untuk tutup jerawat waktu itu. Kalau saya pakai pun, ketika luar waktu sekolah,” kata bekas penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Perhubungan Awam dan Penyiaran) di Universiti West of England.

Ketika usia menginjak remaja, Audi yang mesra dipanggil Mojo memberanikan diri membeli satu produk bedak asas berharga RM39.90 yang ketika itu sangat popular dalam kalangan pengguna wanita, namun kini sudah membelanjakan ribuan ringgit setiap sebulan hanya untuk penampilan diri.

Tempoh transisi itu menjadikannya lebih memahami kaedah solekan yang lebih betul mengikut peredaran semasa.

Selain kosmetik, dia juga mementingkan kebersihan tubuh dan wajah.

Bagaimanapun, dia tidak mengamalkan pemakanan tambahan untuk penjagaan kulit sebaliknya mengutamakan kebersihan diri.

“Saya amalkan pembersihan muka dua kali (double cleansing), ‘make up remover’ untuk pastikan kulit muka betul-betul bersih, penat macam mana pun, kena buang solekan,” katanya.

Tidak cepat melatah, tetapi bersifat lebih realistik dan kalis kecaman, Mojo mementingkan pembawakan diri ke arah lebih positif.

Baginya, imej dan penampilan diri amat penting lebih-lebih lagi untuk menjadi diri sendiri.

“Mekap bagi saya ia seni, terjemahkan ia sebagai satu penghargaan kepada diri. Didik orang lain, tentang penampilan diri termasuk pemakaian supaya sentiasa berasa yakin.

“Cuma, saya tidak ambil kisah. I do not give a damn. Saya tahu diri saya, saya lelaki saya pakai mekap, saya tak perlu jadi orang lain.

“Apabila lelaki mekap bersolek, orang akan fikir, kening dia lukis ke, bentuk kening ke. Benda ini memang perlu bersedia untuk terima teguran sama ada berbentuk negatif atau positif,” katanya.

Dia terus menyarankan masyarakat di luar sana supaya sentiasa menjaga penampilan diri, berbuat baik, dan abaikan cakap-cakap yang tidak membawa semangat diri lebih positif.

“Perkara negatif yang datang, kita tukar kepada positif. Contoh, saya mekap bersebab, tapi saya masih lagi karakter lelaki, yang penting yakin dan berbuat baik,” katanya mengakhiri perbualan.

Author

Pilihan Editor