HomeNiagaLelaki, wanita bersaing hebat dalam bidang penjagaan kulit, kosmetik

Lelaki, wanita bersaing hebat dalam bidang penjagaan kulit, kosmetik

 

PUTRAJAYA: Bidang kosmetik dan rangkaian penjagaan kulit kini bukan lagi didominasi oleh gerakan secara silo iaitu wanita sahaja, tetapi lelaki juga mampu bersaing hebat dan membawa perubahan norma baharu.

Perubahan tren itu dilihat ketara selepas pasca pandemik COVID19, membawa kebangkitan perniagaan dua cabang bidang yang sebelum ini sinonim hanya dikaitkan dengan kecantikan wanita.

Pengurus Jualan e-Beauty Group, Aedy Adnan, berkata lelaki mula menguasai dan menerokai dunia perniagaan kosmetik namun yang menariknya, golongan ini lebih suka mencabar diri bersaing lebih sihat.

“Jika dahulu, kebanyakan pengasas dan usahanita produk kecantikan adalah wanita, tetapi trend sekarang sudah berubah.

“Lelaki kini lebih sedar tentang potensi dan pengaruh mereka dalam bidang ini malah mahu bersama-sama menjayakan produk dan ingin bersaing pula dengan usahanita,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian apabila ditemuramah pada Sesi Forum & Dialog Perubatan, Kecantikan dan Kesihatan di Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan (KKM), di sini.

Sementara itu, Aedy berkata, syarikat e-Beauty Group yang berpangkalan di Puchong Utama dan berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang penjagaan kosmetik, sudah mengeluarkan sehingga 5,000 jenis produk yang antaranya memfokuskan rangkaian pembersih muka, pelembap dan serum.

Justeru, beliau berkongsi nasihat supaya orang ramai mengambil lebih perhatian tentang produk selamat untuk jangka masa panjang sebelum membuat sebarang pembelian.

“Dapatkan nasihat atau pengetahuan mengenai produk selamat atau tidak selamat.

“Pengguna boleh melawat ke laman sesawang NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) atau KKM atau pun sertai program seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, pengguna kini lebih bijak membuat pilihan mengenai sesuatu produk untuk diguna pakai kerana maklumat kini boleh didapatkan di hujung jari.

Author

Pilihan Editor