BIRMINGHAM: Mohamad Aniq Kasdan menceriakan kem negara apabila menyumbangkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Pusat Pameran Nasional (NEC) di sini, hari ini.
Badang negara berusia 20 tahun itu menampilkan aksi bertenaga untuk menjelmakan emas dalam kategori 55 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249kg.
Atlet berasal dari Segamat, Johor itu melakukan angkatan snatch 107kg dan clean & jerk 142kg.
Lebih manis, kejayaan mengungguli acara tersebut juga menyaksikan Malaysia meraih pingat pertama pada temasya kali ini.
Pingat perak dimenangi atlet India Sanket Mahadev Sargar dengan angkatan keseluruhan 248kg manakala gangsa menjadi milik Dilanka Isuru Kumara Yodage dari Sri Lanka dengan melakukan 225kg.
Ketika ditemui pemberita, Mohamad Aniq melahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut dan menyifatkan kejayaan itu satu permulaan baik, bagi kariernya dalam sukan angkat berat.
“Dalam fikiran saya… mahu hadiahkan pingat emas kepada Malaysia dan juga keluarga. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong kerjaya saya,” katanya
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas, itu turut berkongsi pesanan daripada kedua ibu bapanya setiap kali turun beraksi.
“Mak ayah saya pesan banyakkan istighfar kalau gugup dan ingat kepada Allah (SWT) yang bagi kekuatan dan rezeki kepada kita semua,” katanya.
Malaysia juga berpeluang menambah koleksi pingat emas dalam acara angkat berat pada temasya kali ini apabila Muhamad Aznil Bidin turun bagi mempertahankan gelarannya dalam kategori 61kg lelaki, hari ini. – BERNAMA