HomeBeritaOrang Asli tak mahu orang luar ganggu projek ekopelancongan

Orang Asli tak mahu orang luar ganggu projek ekopelancongan

KUALA LUMPUR: Banyak faktor masyarakat Orang Asli sanggup mempertahankan hutan belantara yang sebahagiannya dijadikan sebagai pusat ekopelancongan negara.

Batin Kampung Orang Asli (KOA) Beswok, Pos Yum Lasah, Perak, Mohd Daud Anjang, berkata bukan sahaja adat resam dan budaya Orang Asli, tetapi pemeliharaan alam sekitar yang perlu mereka pertahankan untuk generasi anak cucu akan datang.

Justeru, beliau perlu bersikap adil dalam sebarang urusan membabitkan kerajaan dan masyarakat.

Katanya, perbincangan adalah satu-satunya cara kerja terbaik baginya untuk menyelesaikan isu berkaitan khususnya projek pembangunan.

“Kalau boleh, jumpalah kami khususnya saya selaku Tok Batin. Apa-apa perbincangan mahu bangunkan projek, bincanglah dengan saya, dan saya akan bincang secara menyeluruh dengan penduduk kampung.

“Banyak faktor perlu diambil kira, terutama dari segi pencemaran alam sekitar, kerana sejak tahun 80-an, saya dapati pihak syarikat ambil pembalakan daripada persekitaran kampung, dah habis balak, kemudian mereka ambil aktiviti lain,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Perdana Batin/Penghulu Orang Asli Bersama Pemimpin yang dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Mohd Daud menerima Anugerah Batin/Penghulu Orang Asli Berjaya (Kategori Keusahawanan).

Mengulas lanjut, beliau juga tidak mahu timbul sebarang masalah termasuk perhimpunan atau rusuhan yang tidak munasabah membabitkan masyarakat Orang Asli.

“Saya kena jaga kerajaan, agensi lain, dalam masa yang sama kena jaga masyarakat Orang Asli. Kita tak mahu bergaduh, kita kena bincang dan itu cara saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Daud berkata, penduduk di KOA Beswok kini mengusahakan chalet dikelilingi air terjun, tanaman koko dan lada hitam, serta penternakan ikan dalam sangkar di sekitarnya sebagai sumber ekonomi baharu di kawasan itu.

“Saya tidak menyangka sambutan daripada orang luar amat menggalakkan dengan tempahan penuh setiap hujung minggu. Kini kami sedang membina tapak perkhemahan pula di kawasan berhampiran,” katanya.

Author

Pilihan Editor