HomeBeritaPetronas jual aset sebelum dirampas Sulu

Petronas jual aset sebelum dirampas Sulu

CYBERJAYA: Pendedahan media berhubung tindakan untuk merampas berpuluh bilion ringgit aset anak syarikat Petronas di Azerbaijan mengejutkan ramai pihak.

Kelmarin Financial Times yang berpangkalan di London melaporkan pasukan peguam penuntut telah memberi notis merampas aset Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Walaupun kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai lalu,  namun ketika ini belum berlaku sebarang pemindahan aset.

‘Saisie-arret’ bermaksud notis pengambil alihan aset bagi mendapatkan jumlah penghakiman/keputusan (award) timbang tara yang diperoleh.

Menurut penganalisis bebas dikenali sebagai Zaharah Shah Alam, notis ini belum tentu boleh dilaksanakan kerana pelbagai isu teknikal undang-undang Azerbaijan atau di mana aset tersebut berada.

“Satu hal lagi, kedua-dua syarikat yang mendapat notis tersebut sebenarnya telah tiada aset.

“Menurut Petronas kesemua aset kedua-dua anak syarikat ini telah pun dilupuskan sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya menyalahkan kemelut yang berlaku itu kepada bekas Peguam Negara semasa pemerintahan Pakatan Rakyat (PH), Tan Sri Tommy Thomas.

“Keturunan Sulu saman negara kita pada tahun 2019 ketika pentadbiran kerajaan PH atas alasan Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir wilayah yang kini Sabah setelah negara hentikan bayaran RM5,300 setiap tahun.

“Bayaran tersebut dihentikan pada tahun 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu yang mengakibatkan pengorbanan 10 ahli anggota negara keselamatan,” katanya melalui Facebooknya semalam.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, selepas kalah dalam kes mahkamah di Sepanyol, Malaysia telah diarah membayar gantirugi kepada Sultan Sulu, dan kini berdepan tuntutan yang lebih besar iaitu wilayah Sabah.

Bahkan katanya tidak mustahil akan ada lebih banyak ‘tuntutan’ dikemukakan termasuk melalui rampasan aset-aset Petronas di lebih banyak tempat.

“Terima kasih Tommy dan kerajaan PH! Sudah rampas US$2 bilion (RM8.88 bilion). Boleh rampas lagi US$12,92 bilion daripada US$14.92 bilion (RM66 bilion) yang kita kalah kes kepada pewaris Sulu.

“Petronas menjalankan bisnes di banyak negara. Nak rampas secukup-cukupnya jumlah RM66b itu bukan perkara susah.

“Pulau Batu Puteh dah hilang. Kini giliran kita kena bayar RM66 bilion sekiranya tak mahu hilang Sabah juga,” katanya.

Petronas dalam kenyataannya memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.

Syarikat itu menjelaskan kedua-dua anak syarikat itu, PETRONAS Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan PETRONAS South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya.

PETRONAS mengesahkan kedua-dua anak syarikat, PETRONAS Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan PETRONAS South Caucasus S.à r.l. menerima notis ‘Saisie-arret’.

PETRONAS merujuk kepada laporan media Financial Times bertajuk ‘PETRONAS subsidiaries seized as lawyers press $15bn claim on Malaysia’.

Menjadi persoalan kenapa aset di kedua syarikat Petronas ini dilupuskan lebih awal? Adakah kemungkinan Petronas sudah mengetahui awal mengenai tuntutan Sulu ini? Hanya Petronas yang boleh beri jawapannya.

Author

Pilihan Editor