KUALA LUMPUR: Petrosains RBTX Challenge 2022, yang dirasmikan pada Khamis, dijangka mampu menarik penyertaan kira-kira 10,000 pelajar sekolah serta institusi pendidikan dari dalam dan luar negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan program itu, yang bermula September ini, memberi peluang kepada pelajar berkongsi minat dalam bidang sains dan teknologi menerusi elemen penciptaan khususnya bidang robotik.
Beliau berkata penganjuran program itu selaras dengan visi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju serta berteknologi tinggi menjelang 2030.
“Petrosains RBTX Challenge 2022 ini juga sejajar dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN) dalam memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih berdaya saing melalui sains, teknologi dan inovasi (STI) yang kukuh.
“Program ini dapat meningkatkan minat dan tumpuan para pelajar terhadap mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sekali gus memupuk sifat ingin tahu dengan menggunakan pendekatan secara amali atau praktikal menerusi aktiviti yang menyeronokkan,” katanya.
Selain MOSTI, pertandingan itu mendapat sokongan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), MyDigital Corporation, UBTech serta Microsoft Malaysia.
Petrosains RBTX Challenge 2022 merupakan platform untuk peminat robotik berkumpul bagi mempelajari, menerokai dan bertanding menggunakan robot ciptaan mereka selain membantu penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi serta keupayaan berinovasi.
Sejak diperkenal pada 2018, pertandingan itu mendapat sambutan dengan penyertaan lebih 800 sekolah di seluruh negara.
Penyertaan untuk pertandingan itu kini dibuka kepada peserta tempatan dan antarabangsa dari 18 April hingga 31 Julai 2022 untuk tiga kategori iaitu Robo Tracer, Robo Sumo dan Innovation.
Juara Petrosains RBTX Challenge akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai lebih RM40,000 dan e-sijil daripada Petrosains.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.petrosains.com.my/rbtx-challenge. – BERNAMA