PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebarang keputusan yang dibuat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung permohonan pindaan perlembagaan oleh UMNO, akan dilakukan jabatan itu secara bebas.
Mengulas sama ada RoS telah membuat keputusan berhubung pemohonan UMNO itu, Hamzah berkata, beliau difahamkan RoS masih belum mengeluarkan sebarang keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO.
“Buat masa ini, saya difahamkan RoS belum keluarkan surat (keputusan) lagi dan saya juga tidak tahu.
“Betul, saya menteri yang kawal RoS, tetapi keputusan RoS adalah keputusan yang dibuat oleh mereka secara independent,” katanya ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan surat keputusan kewarganegaraan kepada 28 penerima di sini hari ini.
Pada Mei lepas, UMNO meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli memfokus kepada gerak kerja pilihan raya. Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei.
Pada 7 Julai lepas, RoS dilaporkan memaklumkan keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai ini. – BERNAMA