GOMBAK: Sejarah membuktikan Melayu telah melebur besi 788 tahun sebelum Nabi Isa dilahirkan.
Bukti penemuan relau besi itu di Sungai Batu, Merbok Kedah membuktikan masyarakat Kedah Tua sebagai pelebur besi terawal dan mengeksportnya ke seluruh dunia.
Sekaligus ia membuktikan tamadun bangsa Melayu wujud 35 tahun lebih tua daripada Tamadun Rom.
Namun kisah ini tenggelam setelah Kerajaan Negeri Kedah enggan bekerjasama atau memberi peruntukan untuk menaikkan kehebatan teknologi Melayu ini.
Atas keprihatinan bukti terawal Tamadun Melayu ini dibawa khas dari Kedah untuk dipamerkan di Padang Merbok, lokasi Hari Peradaban Melayu (HPM) yang dianjurkan gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan NGO Islam yang lain pada 30 Julai ini.
Koordinasi HPM, Soufi Anual berkata, alat pembuatan besi seperti bijih besi, jongkong besi turut dipamerkan.
“Selain itu, lakaran tiga dimensi binaan istana tujuh tingkat Kesultanan Melayu Melaka yang sangat terperinci dari Studio Kembara turut ditayangkan.
“Manuskrip, artifak, perubatan tradisional juga akan diketengahkan pada hari berkenaan,” katanya kepada MEDIA VARIASI selepas sidang media pra pelancaran Hari Peradaban Melayu (HPM) di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya dan Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI), Presiden Srikandi, Datuk Norashikin Abd Ghani.
HPM mengisytiharkan 1 Muharam atau 30 Julai nanti sebagai Hari Peradaban Melayu.
Pameran sejarah, persembahan silat, busana, kesenian, qasidah, perarakan digabungkan bersama pada program ini.
Tambah Aminuddin, program ini hendak merapatkan saf semua bangsa Melayu, bukan berpaksi politik dan semua dijemput menghadiri program yang dijadualkan dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Seri Shahidan Kassim dijangka hadir pada jam 2 petang merasmikan majlis.
“Khadim, pembantu ulama Syeikh Khur turut bersama dalam program itu.
“Bangsa Melayu tidak asing dengan Islam, HPM meraikan cinta pada bangsa dan tanah air ini.
“Jika filem Mat Kilau boleh cecah RM84 juta, Bon Odori boleh hadir sehingga 35,000 pengunjung, kita harap pengunjung Hari Peradaban Melayu boleh cecah 50,000 orang,” katanya.