HomeMV+EksklusifSajat bukan Datuk, gelaran Tun Puteh ditarik balik

Sajat bukan Datuk, gelaran Tun Puteh ditarik balik

BANGI: Usahawan kontroversi, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman sebenarnya tiada gelaran Datuk atau gelaran Tun Puteh kurniaan istana sebagaimana yang dicanang sebelum ini.

Fakta itu didedahkan sendiri Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI), Datuk Norasyikin Abdul Ghani selaku penganjur Program Majlis Santapan Diraja dan Anugerah Persilatan Srikandi Negara yang memberi gelaran Tun Puteh pada 13 Mei 2017

Anugerah terbabit disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika itu.

Majlis penganugerahan itu diadakan bagi meraikan jasa dan sumbangan wanita dari seluruh negara dalam pelbagai bidang yang membawa perubahan ke arah kesejahteraan rakyat dan negara.

Satu laporan polis kemudiannya dibuat 4 Oktober 2017 tetapi tidak didedahkan umum ketika itu kerana tidak mahu terpalit dalam permainan Sajat yang suka kontroversi.

“Saya nak dedahkan Muhammad Sajadd Kamaruzaman atau Sajat tiada gelaran Datuk diberikan kepada beliau, gelaran Tun Puteh diuar-uarkan sebagai Tokoh Srikandi tidak benar.

“Gelaran Anugerah Tokoh Persilatan Srikandi Negara hanyalah kepada pesilat negara dengan membawa gelaran Tun Fatimah dan Tun Teja.

“Manakala gelaran Tun Puteh diberi kepada usahawan berjaya dan mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing seperti pembinaan dan kewartawanan.

“Saya ingin jelaskan di sini gelaran Tun Puteh tiada kaitan dengan Tokoh Persilatan Srikandi Negara.

“Anugerah tokoh usahawan Sajat dengan gelaran Tun Puteh ditarik balik pada 5 Oktober 2017 selepas pihak kami mendapati ada pemalsuan dokumen yang diserah kepada penganjur dan istana,” katanya eksklusif kepada MEDIA VARIASI.

Tambah Norasyikin, pada majlis itu penganugerahan gelaran Tun Fatimah dikurniakan khusus kepada pesilat wanita negara yang telah mengharumkan nama Malaysia.

“Nama penganjuran anugerah itu adalah Majlis Santapan Diraja dan Anugerah Tokoh Persilatan Srikandi Negara yang telah dimuktamadkan namanya tetapi mungkin Sajat tidak faham dan menggunakan gelaran itu dalam hantaran media sosialnya.

“Dakwaannya bahawa dia menerima Anugerah Tokoh Persilatan Srikandi Negara adalah tidak benar.

“Perkara ini berlaku empat tahun lalu sebelum dia lari ke Australia awal Januari tahun 2021, jadi kesimpulannya jangan dengar sebelah pihak sahaja perlu ada pengesahan daripada pihak penganjur juga,” katanya.

Menerusi satu perkongsian di Instagram baru-baru ini Sajat telah mengulang siar watikah Anugerah Tokoh Persilatan Srikandi Negara dengan gelaran Tun Puteh kepada Sajat.

Gelaran Datuk itu sebenarnya boleh disemak di portal Jabatan Perdana Menteri.

Sajat mengulangi dakwaan kepada Stesen Penyiaran British (BBC) di Britain dari Sydney, Australia baru-baru ini bahawa dia diperlakukan secara kasar oleh anggota-anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika menangkapnya.

Sajat menyatakan dia perlu melarikan diri dan telah dipukul termasuk digari di depan ibu bapa serta keluarganya.

Dia kini yang menetap di Australia selepas ditangkap oleh anggota-anggota Jabatan Imigresen di Thailand berkata bahawa dia berasa sedih dan malu kerana walaupun memberikan kerjasama tetapi kakitangan JAIS masih melakukan perbuatan itu.

Pihak berkuasa Malaysia kemudian meminta Thailand melakukan esktradisi dengan menghantar balik usahawan itu.

Namun, usahawan itu diberikan status pelarian dan dia dibenarkan oleh Thailand untuk mendapatkan perlindungan di Australia.

Pada Januari lalu, dia didakwa memakai baju kurung di sebuah majlis keagamaan pada tahun 2018 yang boleh membawa hukuman tiga tahun penjara jika sabit kesalahan.

Menurut BBC, pada pandangan pihak berkuasa Malaysia, usahawan itu ialah seorang lelaki dan sebagai kaum Adam, dia tidak boleh berpakaian seperti wanita.

IKUTI SIRI KEDUA SAJAT BUKAN DATUK, GELARAN TUN PUTEH DITARIK BALIK

Author

Pilihan Editor