KELANA JAYA: Pelakon dan selebriti, Tya Ariffin mahu menjadikan produk Jamu Mutyara sebagai medium ramuan herba warisan tradisional Melayu Nusantara yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Justeru, Tya atau nama sebenarnya, Nutria Wulandari, 28, mahu mengubah stigma masyarakat yang didakwanya, banyak pihak di negara ini menyalahgunakan nama jamu itu sendiri.
Pengasas Empayar Mutyara bersama suami yang juga usahawan selebriti, Asyraf Khalid, itu berkata, selain rasa Jamu Mutyara sebenarnya tidak pahit, kandungannya turut bercampur makanan sunah, serta maksud asal jamu di Indonesia adalah ubat.
“Bagi Tya, mungkin yang kata jamu pahit sebab tak pernah minum Jamu Mutyara. Betul jamu dulu pahit, nenek Tya orang Indonesia, Jadi, ini sebab Tya buat Mutyara dalam 350 ml botol, tak pahit langsung, tetapi membantu wanita untuk kekal sentiasa sihat dan bertenaga sepanjang hari.
“Sebagai pengasas jamu, Tya tak berdiam, tapi kena jelaskan kepada umum tentang Jamu Mutyara.
“Tya juga mahu tukar mentaliti orang sini. Jamu itu maksudnya ubat di Indonesia tetapi di Malaysia nama jamu itu disalahguna,” kata anak kelahiran Palembang itu.
Beliau ditemui selepas hadir menjadi panel pada majlis Wacana Halatuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian menampilkan ahli panel, negarawan terulung, Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran PTTI di sini.
Tya turut menambah, mengikut sejarah asal jamu juga, bahan kandungan turun -temurun sebenarnya daripada barang asas dalam masakan seperti halia dan kunyit.
“Kita kembali kepada sejarah, kenapa jamu itu diwujudkan. Ada banyak bahan herba tapi ia diubah kepada ubat kesihatan. Jadi, kita olah jamu pahit itu kepada mudah diminum dan sedap.
“Bagi Tya, herba tradisional seperti halia untuk makan, masak, kunyit bagus untuk kulit, cuma kita tak mahu semakin tahun, semakin lupakan bahan tradisional yang kita biasa makan, jadi ini yang nak disampaikan kepada orang muda,” katanya.