BUKIT JALIL: Penggunaan teknologi pesawat kawalan jauh, dron dilihat berpotensi besar di kebanyakan industri dalam negara.
Dron kini banyak digunakan oleh agensi kesihatan dan keselamatan, malah tidak mustahil ia boleh diperluas dalam industri pengangkutan, kurier dan mempengaruhi kehidupan domestik.
Justeru, Ketua Pegawai Operasi Berkumpulan Lestari Aero Industries Sdn Bhd, Ts Noriza Dani, berkata, kerajaan perlu melihat skop bidang aeroangkasa dan aeronautik lebih meluas kerana terdapat permintaan tinggi dalam pasaran khususnya, penggunaan teknologi dron yang semakin popular.
“Permintaan sentiasa ada, dan saya nampak bidang ini akan memangkin lagi industri dron kerana bukan sahaja kerajaan sudah gunakan dron, masyarakat juga melihat ia teknologi yang menyeronokkan.
“Jadi ada keperluan untuk mengadakan lebih banyak kempen kesedaran mengenai inovasi dron dan lebih banyak penyediaan tempat khas sebagai kawasan manfaat kepada pengguna serta penghasil dron,” katanya kepada MEDIA VARIASI ketika ditemui di kompleks MRANTI, Taman Teknologi Malaysia, di sini.
Katanya, kekerapan kempen kesedaran itu juga antara kaedah memberi pengetahuan dan pendidikan tentang aspek keselamatan penggunaan dron daripada berlaku kejadian tidak diingini.
Beliau turut mencadangkan, dua kawasan trek dron khas sama ada di tempat terbuka dan berjaring atau di bangunan yang menempatkan orang awam dan pengguna dron yang mengawal pesawat kecil itu di luar premis.
“Buat masa sekarang, tempat khas untuk pemain dron terhad, banyak yang terbiar tetapi memerlukan pematuhan syarat,” katanya.
Sementara itu katanya, inovasi dron perlu mematuhi syarat penggunaannya termasuk jarak ketinggian tidak melebihi 50 meter, tidak melebihi jarak lebih 12 kilometer dan berat dron tidak melebihi dua kilogram.
“Meskipun rekaan dron dicipta boleh berdaya tahan, namun kita masih khuatir dari segi keselamatan.
“Justeru, sesiapa sahaja yang memiliki dron perlu mendapatkan permit daripada CAAM kerana ada kawasan yang dilarang untuk penerbangan dron, perlu lebih berhati-hati,” katanya menjelaskan dua jenis dron iaitu ‘fix swing’ dan ‘multicopter’.
Penggunaan dron dijangka mempengaruhi gerak kerja kehidupan pada masa depan antaranya, dalam misi bantuan mencari dan menyelamat (SARS), membendung kebakaran hutan, mengurangkan penyebaran COVID19 melalui kurier tanpa sentuhan, kurier barang bersaiz kecil selain mengangkut bekalan ke kawasan tidak dapat diakses.