HANOI: Vietnam mendahului negara Asia Tenggara lain untuk pembelian dalam talian, dengan purata 104 pesanan setahun bagi setiap individu, menurut laporan baharu yang dikeluarkan oleh Ninja Van Group, sebuah syarikat e-logistik yang beroperasi di negara-negara Asia Tenggara.
Menurut laporan mengenai ‘e-dagang merentasi sempadan,’ 73 peratus responden tinjauan mengatakan mereka kerap membeli-belah di platform beli-belah e-dagang dan 59 peratus berkata mereka telah memesan atau banyak kali membuat pembelian di laman sesawang antarabangsa.
Vietnam kini menyumbang 15 peratus daripada pasaran beli-belah dalam talian Asia Tenggara, selepas Thailand dan Filipina masing-masing menyumbang 16 peratus, lapor Agensi Berita Vietnam.
Laporan itu menunjukkan bahawa orang Vietnam suka membeli-belah dalam talian dan mendahului rantau ini dalam banyak petunjuk.
“Dengan penyelidikan strategik yang menunjukkan pembangunan industri e-dagang dan e-pos di Asia Tenggara, kami percaya bahawa pasaran Vietnam adalah antara yang paling berpotensi berikutan pertumbuhannya yang mampan dan jelas dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Pengarah Jualan Ninja Van Vietnam Phan Xuan Dung. – BERNAMA