HomeGaya HidupWanita kurang minat pakaian kemuliaan Melayu

Wanita kurang minat pakaian kemuliaan Melayu

KUALA LUMPUR: Jika pakaian kemuliaan Melayu lelaki adalah bertanjak, bersampin, berkeris dan berselipar capal, bagaimana pula busana wanita Melayu?

Tinjauan MEDIA VARIASI di program Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) bertemakan ‘Kesatuan Melayu, Keunggulan Peradaban’ di Padang KLFA, Taman Melati, di sini, mendapati, hampir semua lelaki daripada kira-kira 4,000 yang hadir memakai pakaian kemuliaan Melayu.

Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil kalangan wanita berbusana Melayu seperti baju kurung kebaya, berselendang, memakai dokoh, bercucuk sanggul, malah ada yang berkeris dan memakai tengkolok, di program anjuran PEMBELA itu.

Seperti sedia maklum, Malaysia mempunyai adat dan budaya warisan pakaian tradisional wanita Melayu antaranya baju kebaya, Kedah, Pahang, cekak musang, teluk belanga, aksesori berselendang, pemeleh, gelang kaki dan tangan, cincin, memakai subang, dokoh, bersanggul, pending, kain sarong, kain kemban, dan banyak lagi mengikut negeri masing-masing.

Foto kredit : gempak.com

Berbeza dengan hasil tinjauan media di Festival Bon Odori Ke-46 baru-baru ini, hampir kesemua wanita yang hadir sanggup menyarung pakaian tradisional negara matahari terbit itu seperti kimono dan yukata, di Malaysia yang beriklim panas dan lembab Khatulistiwa.

Umum mengetahui, Jepun adalah negara empat musim, dan pemakaian tradisional mereka kelihatan lebih besar dan tebal namun mereka tidak mempedulikan langsung cuaca di negara ini, demi kerana kecintaan kepada tradisi budaya.

Justeru, Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya akan cuba menambah baik program HPBM pada tahun-tahun akan datang dengan lebih menggalakkan wanita memakai pakaian kemuliaan Melayu masing-masing.

“Perkara (program) ini yang pertama dan masih baharu, selepas fenomena Mat Kilau jadi semangat bangkit Melayu.

“Walaupun saya ada lihat wanita ada memakai selendang macam orang dahulu, tetapi kami akan cuba menambah baik pengisian program tahun hadapan dengan menggalakkan mereka mengenakan pakaian Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu kurangnya minat wanita dalam pemakaian kemuliaan Melayu berbanding lelaki secara amalan harian.

Turut hadir memberi sokongan kepada program seperti penerbit dan pengarah urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali serta pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam.

Presiden Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia, Roslim Abu turut mengakui hanya sebilangan kecil wanita mengenakan pakaian kemuliaan Melayu meskipun sudah lama berkecimpung dalam bidang itu.

“Program hari ini adalah yang pertama oleh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bukan terlibat secara langsung dalam hal berkaitan warisan, jadi bila saling bekerjasama, jaringan budaya dan kefahaman sudah terbina.

“Program seperti ini akan membuka mata semua, supaya semua orang tahu di mana, bagaimana dan siapa kelompok yang membawa busana berpakaian Melayu,” katanya.

Author

Pilihan Editor