HomeBeritaAzmin tegas PN, bukan BN punca kestabilan negara

Azmin tegas PN, bukan BN punca kestabilan negara

SERDANG: Politik dan ekonomi kerajaan hari ini tidak mampu stabil dan kuat tanpa gabungan terbesar parti daripada Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau mendakwa pengurusan ekonomi dan isu pandemik menunjukkan perkembangan positif sejak kerajaan gabungan dan terbesarnya adalah daripada PN melaksanakan dasar pemulihan ekonomi, pelaburan dan perdagangan.

“Saya nak tegaskan, kerajaan hari ini fokus dan komited kepada dua perkara iaitu memulihkan ekonomi dan menguruskan pandemik COVID-19 dengan lebih efektif. Dasar yang diambil dua tahun lalu telah pun menunjukkan pertumbuhan positif.

“Kerajaan hari ini adalah kerajaan gabungan, bukan kerajaan satu parti BN seperti sebelum ini, dan gabungan parti terbesar dalam kerajaan hari ini adalah kerajaan PN bukan satu parti sahaja.

“Maka apabila saya dan rakan-rakan (komponen PN) menyatakan bahawa tanggungjawab bersama memperkukuhkan kerajaan, bermakna kita mahu memperkukuhkan gabungan kerajaan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan nama beliau dikaitkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM), namun beliau kemudian mengelak daripada menjawabnya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, kerajaan hari ini mesti stabil dan adil supaya dapat meraih keyakinan rakyat sekali gus menarik pelabur ke dalam negara.

“Kerajaan kalau tidak stabil atau lemah mana mungkin kita dapat uruskan dua perkara besar (ekonomi dan pandemik) demi kepentingan rakyat.

“Kerajaan stabil dan kuat rakyat akan dapat manfaat dan negara kita akan makmur,” katanya.

Terdahulu, Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri hadir menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik MAFI 22 Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat ejen pemasaran antarabangsa di MAEPS, di sini.

Majlis itu diadakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Turut menyaksikan majlis itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee.

Author

Pilihan Editor