KUALA LUMPUR: Langkah mempercepatkan tarikh pembentangan bajet negara adalah perkara biasa, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Perkara biasalah. Dulu zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pernah buat (bajet) bulan September,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran program USHAniaga Keluarga Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa laporan media yang mengatakan bahawa Bajet 2023 akan dibentangkan awal iaitu pada 7 Okt, sedangkan menurut takwim Dewan Rakyat, Bajet 2023 sepatutnya dibentangkan pada 28 Okt.
Ditanya mengenai tarikh pembentangan bajet, Ismail Sabri berkata ia akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sementara itu, Ismail Sabri dalam hantaran di laman Facebook berkata beliau berbangga melihat pelbagai produk ciptaan anak tempatan dipamerkan di Karnival USHAniaga Keluarga Malaysia anjuran UDA Holdings Berhad (UDA).
“Terima kasih UDA dengan kerjasama KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) kerana menyediakan peluang untuk usahawan asnaf Keluarga Malaysia memasarkan produk mereka terutama ketika suasana ekonomi negara dalam fasa pemulihan,” katanya.
Perdana Menteri berkata UDA turut memperuntuk sumbangan zakat sebanyak RM100,000 kepada 20 usahawan asnaf.
Pada majlis itu, Ismail Sabri berkata empat individu yang terdiri daripada ibu tunggal, bekas tentera dan asnaf miskin menerima sumbangan zakat tersebut.
“Saya menjemput seluruh Keluarga Malaysia yang berada di sekitar Lembah Klang untuk memeriahkan Karnival ini,” katanya. – BERNAMA