HomeSukanBeregu Malaysia berentap sesama sendiri ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia Tokyo

Beregu Malaysia berentap sesama sendiri ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia Tokyo

 

Oleh: SITI NS

MALAYSIA terus rancak menuju kemenangan di Kejohanan Badminton Dunia Tokyo 2022.

Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai memulakan rentak dengan menewaskan pasangan England Gregory Mairs-Jenny Moore, 21-13, 21-18 dalam pertarungan selama 33 minit.

Beregu Malaysia yang berada pada ranking yang ke-11 dunia itu akan bertemu beregu nombor sembilan dunia dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue pada hari esok.

Beregu wanita utama negara yang memenangi emas buat Malaysia pada Sukan Komanwel di Birmingham yang baru sahaja berlalu turut mara ke pusingan ketiga apabila menewaskan wakil India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 21-8, 21-17 dengan mudah.

Pasangan Pearly Tan-M Thinaah yang berada pada ranking ke-11 dunia itu akan turun bertemu beregu nombor lima dunia dari Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama. Jarak ranking di antara mereka agak jauh tetapi itu tidak akan mematahkan semangat mereka untuk memberikan yang terbaik buat Malaysia.

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak mengecewakan peminatnya apabila menang “straight sets” dalam perlawanannya menentang pemain Portugal, Bernardo Atilano sebentar tadi.

Zii Jia seperti langsung tidak merasa tekanan daripada lawannya itu dan berjaya menamatkan set dalam masa 36 minit sahaja dengan keputusan 21-9, 21-13.

Zii Jia layak peringkat seterusnya yang di mana dia akan bertemu Zhao Jun Peng, pemain China yang berada pada ranking ke-23 dunia.

Beregu lelaki utama negara tidak kurang hebatnya apabila dapat mengekalkan momentum kemenangan buat Malaysia dengan menumpaskan pasangan dari Taiwan. Pemain duo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berada di ranking ke-6 negara itu menawan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 22-20, 21-18 dalam pertarungan yang berlangsung selama 42 minit.

Pasangan beregu lelaki, Goh Sze Fei- Nur Izzuddin Rumsani juga berjaya mara apabila muncul juara dalam perlawanan menentang pemain Ireland, Joshua Magee-Paul Reynolds 21-13, 21-12, dalam perebutan ke slot seterusnya.

Perlawanan pada hari esok tentunya merupakan hari yang memdebarkan buat mereka kerana bukan sahaja ianya menentukan siapa yang bakal mara tetapi dua pasangan beregu yang sama hebat dari Malaysia ini akan berentap sesama mereka untuk melayakkan diri ke suku akhir. Ini bermakna, hendak atau tidak, salah satu pasukan beregu lelaki Malaysia bakal menamatkan perjalanan mereka dalam perlawanan di Tokyo ini.

Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa akur apabila kalah tipis dengan beregu Singapura, Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean, 20-22, 20-22. Kali ini nasib tidak menyebelahi mereka di bumi Tokyo.

Selain dari itu, perjalanan pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah juga berakhir apabila dia ditundukkan oleh Juara Olimpik Tokyo 2020, Chen Yu Fei dari China yang menewaskannya 17-21, 15-21.

Semakin hari semakin terasa debarannya untuk mengetahui adakah tahun ini Malaysia mampu bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia 2022. Sama-sama kita tunggu dan terus memberi sokongan dari jauh buat pemain-pemain badminton Malaysia.

Author

Pilihan Editor