BIRMINGHAM: Jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, menepati ramalan apabila meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Pusat Pameran Nasional (NEC) di sini, malam tadi.
Kejayaan jaguh dunia itu dalam kategori lightweight bawah 72 kilogram (kg), sekali gus menyaksikan Bonnie menyumbangkan pingat emas keempat kepada kontinjen negara pada Sukan Komanwel kali ini.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo tahun lepas itu, melakukan angkatan 220 kilogram (kg) yang juga rekod temasya, menyaksikan atlet berusia 23 tahun itu mencipta sejarah muncul atlet pertama Malaysia, memenangi acara tersebut di temasya sukan berkenaan.
Pingat perak dimenangi wakil tuan rumah, England Mark Swan dengan angkatan 202kg manakala gangsa milik Nnamdi Innocent dari Nigeria dengan angkatan 190kg.
Pencapaian Bonnie itu juga mengubat kekecewaannya pada penampilan sulung di Gold Coast, Australia pada 2018, apabila dia terlepas pingat setelah menduduki tangga keempat.
Bonnie mencipta sejarah apabila muncul juara dunia dua kali iaitu pada 2019 di Nur Sultan, Kazakhstan dan 2021 (Georgia).
Ketika ditemui pemberita, Bonnie mengakui sebelum memulakan saingan di sini, beliau agak bimbang tidak dapat menepati sasaran yang diletakkan ke atas beliau bagi menyumbangkan pingat emas kepada negara.
“Sebelum datang sini perasaan saya 50-50. Jadi, sebelum pertandingan hari ini, saya telefon ibu bapa dan mereka berpesan supaya saya kosongkan fikiran dan buat yang terbaik. Saya bersyukur dapat menghadiahkan pingat emas kepada negara,” katanya.
Ketika ditanya mengapa beliau tidak meneruskan angkatan bagi mengatasi rekod dunia 230kg miliknya, Bonnie berkata beliau tidak mahu mengambil risiko kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu.
Bonnie yang berasal dari Sarawak adalah pemegang rekod dunia dalam kategori sama dengan angkatan 230kg.
Bonnie turut melahirkan rasa gembira atas kejayaan meraih emas di temasya Sukan Komanwel, yang sekali gus menambah koleksi gelarannya di peringkat dunia, selepas mengungguli kejuaraan di Sukan Paralimpik dan Kejohanan Dunia.
Jaguh dunia itu, bagaimanapun berkata setakat ini beliau belum ‘merasai’ gelaran pada Sukan Para ASEAN.
Pada Sukan Paralimpik Tokyo, tahun lepas, Bonnie mencipta sejarah menjadi atlet pertama negara memenangi emas selepas mengungguli kategori 72kg dengan angkatan 228kg, sekali gus memperbaharui rekod temasya. – BERNAMA