HomeBeritaCadangan RCI siasat tuduhan kehakiman tidak bebas - Jahaberdeen

Cadangan RCI siasat tuduhan kehakiman tidak bebas – Jahaberdeen

KUALA LUMPUR: Kedaulatan undang-undang di negara ini akan terjamin jika mahkamah bersikap bebas,” kata Peguam Kanan, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Beliau berpendapat, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dilihat mampu membetulkan semula persepsi kononnya sistem kehakiman negara adalah tidak bebas.

“Kita selalu sebut bahawa sistem kehakiman merupakan benteng terakhir untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat.

“Jadi bila kehakiman merupakan benteng terakhir untuk mendapatkan keadilan, kita mahu bila pergi ke mahkamah kita mendapat satu keputusan yang adil dan jujur.

“Untuk hakim-hakim bersikap adil dan jujur, mereka perlulah telus dalam membuat satu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengasas Pergerakan RAPERA itu menegaskan, RCI wajar ditubuhkan bagi menyiasat pelbagai tuduhan terhadap sistem kehakiman negara sepanjang tempoh 20 tahun lalu.

“Ia untuk memulihkan semula kepercayaan, hakim-hakim juga perlu bebas daripada rasa takut, ugutan, serta campur tangan termasuk daripada kerajaan.

“Sehingga kini saya lihat tidak ada pun satu badan suruhanjaya atau RCI.

“Saya merujuk secara khususnya sebagai contoh selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pengampunan (diraja), beliau ada membuat kenyataan-kenyataan yang memberikan (gambaran) tertentu kepada sistem kehakiman.

“Begitu juga kita ingat ada seorang bekas hakim yang pernah membuat satu afidavit yang juga memberi gamabran yang tidak begitu sihat terhadap kehakiman.

“Jadi semua ini belum diselesaikan lagi,” katanya.

Pada Februari 2019, satu pendedahan afidavit dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan (ketika itu), Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Afidavit 63 muka surat itu antaranya yang mendedahkan maklumat terperinci berhubung beberapa insiden campur tangan dalam badan kehakiman Malaysia.

Mengulas lanjut, Jahaberdeen itu menambah, tuduhan-tuduhan terhadap badan kehakiman perlu diselesaikan secara serentak oleh RCI termasuk melalui sesi dialog atau forum awam bagi membuktikan semua dakwaan tersebut tidak berasas.

Pada masa yang sama, beliau berkata dalam keadaan tertentu, sistem kehakiman perlu bertindak lebih tegas khususnya apabila berdepan tuduhan yang terlalu palsu.

Jahaberdeen berkata, adalah tidak salah untuk menyuarakan kritikan terhadap sistem kehakiman namun ia perlu mempunyai batas.

“Dalam kes-kes berprofil tinggi, wujud terutama berbaur politik dan kita dalam sistem demokrasi yang sangat subur, kita memang anggap perkara ini akan berlalu.

“Pada amnya, saya yakin sistem kehakiman kita dan saya rasa kita harus lentur komen-komen kepada kehakiman, seimbangkan antara demokrasi dan juga menghormati sistem kehakiman supaya kehakiman tidak hilang kebebasan,” katanya.

Author

Pilihan Editor