HomeBeritaDuda dijel 24 bulan, curi seluar dalam wanita

Duda dijel 24 bulan, curi seluar dalam wanita

KOTA KINABALU: Memualkan! Seorang duda kepada dua anak sanggup mencuri seluar dalam wanita, malah lebih menjijikkan memakai pakaian itu.

Bagaimanapun, perbuatannya dikesan dan dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas dia mengaku bersalah mencuri pakaian dalam wanita minggu lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun itu, mengaku perbuatan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun, semalam.

Mengikut kertas pertuduhan, duda berkenaan didakwa mencuri pakaian dalam wanita di Taman Puncak, Menggatal, di sini, pada 1.39 pagi, 11 Ogos lalu.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tertuduh mencuri pakaian dalam wanita menggunakan sebatang kayu di beranda belakang rumah mangsa.

Tertuduh kemudian ditahan di rumahnya pada 13 Ogos lalu dan pemeriksaan menemui 10 jenis pakaian dalam wanita berada dalam simpanan tertuduh.

Ketika rayuan, peguam Nabila Norsahar dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan memandangkan anak guamnya mengaku bersalah dan menyesal atas perbuatannya.

Nabila memaklumkan tertuduh sudah bercerai, dan mempunyai dua anak selain tidak bekerja.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Albert Basiri memohon hukuman setimpal kerana lelaki itu melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap wanita.

Kes ini membabitkan kepentingan awam khususnya wanita. Semasa ditahan tertuduh didapati memakai seluar dalam wanita itu.

“Tertuduh juga mengaku bahawa dia berada dalam keadaan sedar dan waras ketika melakukan jenayah itu untuk memuaskan nafsunya,” katanya.

Author

Pilihan Editor