KUALA LUMPUR: Penaung Malaysian Educator Movement (MEM), Muhammad Zaki Omar mendakwa dirinya anti Datuk Seri Najib Razak sebelum ini namun berubah pendirian setelah mengikuti perbicaraan kes SRC International dan 1MDB.
Beliau yang juga Penyelidik Kepentingan Awam percaya apa yang berlaku terhadap Najib adalah berkait ahli politik yang memusuhi beliau kerana bermotifkan politik dan bukan demi masa depan Malaysia.
Muhammad Zaki turut memohon maaf kepada Najib kerana menerima dan menyebarkan tuduhan berkaitan isu SRC dan 1MDB sebelum ini.
“Saya akui sebelum ini saya anti Najib kerana 1MDB, namun kemudian saya lihat rentetan konspirasi yang banyak perkara diragui dan berniat jahat. Ada motif lebih besar terutama mempengaruhi pilihan raya.
“Kita hormati keputusan mahkamah, kita tidak pertikaikan keputusan mahkamah tetapi saya percaya apa yang dibangkitkan, Najib tidak pernah diberi peluang tentang bukti baharu dimasukkan.
“Saksi-saksi pembelaan yang belum dipanggil, sewajarnya saksi-saksi beri ruang untuk hadir, kita bercakap tentang keadilan, bagaimana nak justifikasi seseorang itu bersalah atau tidak, hanya disebabkan teknikal, tempoh masa sudah terlepas tetapi perkara benar tetap benar,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Menurutnya lagi, jika Najib yakin tidak bersalah dan terpenjara atas sebab penganiayaan anggaplah itu ujian Allah dan rakyat akan menilai dengan hati yang terbuka.
Kata Muhammad Zaki, ekonomi hari ini jauh lebih teruk berbanding antara 2008 hingga 2018.
“Ekonomi merudum dengan perubahan kerajaan sampai tiga kali berbanding 10 tahun bawah Najib.
“Jadi saya yakin penyokong Najib tidak akan berganjak, dan Allah sebaik-baik penilai,” katanya.