KUALA TERENGGANU: Seramai 1,064 usahawan di Pantai Timur telah mendapat manfaat daripada Program Entrepreneur ECER-SIRIM, anjuran Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC) kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata daripada jumlah itu program yang memfokuskan kepada usahawan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) itu, sebanyak 170 syarikat telah berjaya mendapat pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang penting untuk menembusi industri halal dan memberi nilai tambah terhadap produk.
“Program ini turut mendapat kerjasama Institut Piawaian dan Penyelidikan Malaysia (SIRIM). Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM2.4 juta untuk Program Entrepreneur ECER-SIRIM sejak 2015 hingga tahun lepas.
“Pelaburan kerajaan ke atas program ini telah memberi pulangan sebanyak 3.4 kali ganda daripada nilai pelaburan. Oleh itu kerajaan akan sentiasa menyokong program ini pada masa akan datang,” kata beliau pada sidang media Majlis Graduasi Program Entrepreneur ECER-SIRIM Zon Terengganu di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rekabentuk Pembungkusan dan Keselamatan SIRIM Berhad Rafidah Mokhtar.
Sementara itu Baidzawi berkata ECERDC telah melaksanakan sesi padanan perniagaan secara atas talian untuk membantu usahawan melebarkan jaringan perniagaan ketika musim pandemik COVID-19.
Hasilnya, tiga usahawan di bawah Program Entrepreneur ECER-SIRIM dari Terengganu iaitu Syarikat Tenang Resepi Sdn Bhd, Hasan Majid Sdn Bhd dan Softa Marketing Sdn Bhd berjaya mendapat tempahan dengan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM600,000.- BERNAMA