KUALA LUMPUR: Ramai pihak berkepentingan tampil meluahkan kebimbangan terhadap ancaman buli siber yang semakin kritikal dalam negara.
Jika sebelum ini, Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy tampil mengulas kes seorang pempengaruh popular media sosial dalam masyarakat India meninggal dunia ekoran tekanan dipercayai dari buli siber.
Beliau bagaimanapun tidak punya rekod statistik berhubung isu berkenaan namun MIC menerima aduan kematian akibat tekanan hampir setiap hari.
Peguam dari firma HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid, juga mendedahkan fitnah dan pembulian siber di media sosial semakin berleluasa termasuk aplikasi penghantaran mesej seperti Telegram dan Whatsapp.
Wan Azmir juga tidak mempunyai rekod statistik berhubung perkara sama namun pengalamannya sebagai peguam mewakili banyak kes fitnah di media sosial.
“Bukan sahaja di FB dan Instagram, berlaku peningkatan (fitnah), ada kalanya berlaku dalam Telegram, Whatsapp.
“Saya lihat ada peningkatan dalam kes sivil dan jenayah. Saya rasa ‘figure’ (data) itu pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), boleh beri data,” katanya mengulas mengenai isu fitnah di media sosial.
Beliau berkata demikian pada sidang media fail tuntutan saman fitnah berjumlah RM10 juta oleh jutawan hartanah, Azlan Al Amin terhadap pemilik akaun TikTok, Matmovha di Menara Dato Onn di sini.
Wan Azmir memberikan contoh isu berlaku pada anak guamnya mengenai, hantaran video bertajuk ‘Azlan Al Amin nak tetak orang’ yang menyebabkan reputasi dan maruahnya sebagai pemilik syarikat hartanah tercalar.
“The video is real occurance. Dalam konteks ini, untuk kita leraikan apa yang berlaku, kalau kita tengok pada aspek mempertahankan diri.
“Kalau kita tengok pada aspek itu, pada bahagian yang bila berlaku kecederaan sahaja tanpa meneliti keadaan dua tiga minit sebelum itu, you will read everything out.
“Kalau kita take out of the context, berbeza dengan orang datang dengan cara baik, dan anak guam saya bertindak sedemikian, ia berbeza.
“Kalau saya sendiri, tidak bersedia untuk leraikan situasi, maknanya agresif itu akan melonjak lagi dan mengakibatkan perkara yang kita tak mahu lalui,” katanya.