ALOR SETAR: Tindakan individu berpakaian mencolok mata pada acara Minggu Fesyen Kedah 2022 (KFW22) yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini baru-baru ini dipercayai tindakan peribadi yang dilakukan setelah acara pertunjukan fesyen itu tamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata penganjur acara iaitu Aman Central serta pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Daerah Kota Setar telah dipanggil bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Beliau berkata hasil pertemuan itu, difahamkan individu berkenaan bukan peserta yang dijemput untuk memperagakan pakaian dalam KFW22.
“Difahamkan juga identiti individu berkenaan adalah seorang mak nyah yang berlakon seperti seorang model dengan menggayakan pakaian yang tidak sesuai, mengambil gambar serta video dan memuat naik di dalam media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, tular gambar memaparkan seorang wanita memakai pakaian mencolok mata di KFW22 sehingga menimbulkan kemarahan dan tanda tanya bagaimana perkara itu boleh berlaku.
Sehubungan itu, Dr Mohd Hayati berkata pihak kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan dan undang-undang yang sedia ada.
“Kerajaan negeri juga berhasrat mengkaji bagi memperkemaskan peraturan-peraturan kecil yang berkaitan hiburan dan pertunjukan supaya lebih menepati adat budaya serta tatasusila negeri Kedah,” katanya.
Sementara itu, Aman Central dalam kenyataannya hari ini memohon maaf atas kejadian itu dan memaklumkan berasa kesal dengan perkongsian gambar oleh individu berkenaan yang tidak mencerminkan kod etika pemakaian ditetapkan pihak penganjur.
“Pihak kami kesal atas segala kesulitan yang berlaku dan akan memastikan etika pemakaian yang ditetapkan di mana-mana majlis di Aman Central akan dipantau dengan lebih ketat selepas ini. Kami juga telah mendapatkan kesemua kelulusan oleh pihak berwajib sebelum majlis dijalankan.
“Acara ini mendapat sambutan menggalakkan dan KFW telah menjadi platform rasmi dalam kalangan pereka fesyen tempatan. KFW ini adalah acara tahunan di Aman Central dan selepas dua tahun dibatalkan akibat pandemik ia diadakan semula,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA