SHAH ALAM: Kereta pakai air atau Waterfuel ciptaan sekumpulan anak Melayu bukan dan sama sekali tidak sama dengan Fuel Cell atau Hydrogen Cell (sel hidrogen).
Waterfuel menggunakan air untuk menghasilkan hidrogen tetapi sel hidrogen menggunakan hidrogen untuk menghasilkan elektrik.
Menurut jurutera Waterfuel, Muhamad Haniff Mua’anaff, hidrogen daripada Waterfuel tidak disimpan tetapi terus disalurkan ke dalam enjin.
“Jika tidak digunakan tidak ada hidrogen yang dihasilkan.
“Hidrogen dihasilkan ketika diperlukan sahaja. Konsep ini dikenali sebagai ‘supply on demand’, atau ‘hydrogen on demand’.
“Oleh kerana gas hidrogen tidak disimpan maka ini menambahkan ciri keselamatan kerana hidrogen adalah unsur kedua yang paling mudah meletup.
“Bom hidrogen adalah antara yang paling ditakuti di seluruh dunia.
“Di situlah terletaknya rahsia Waterfuel ini. Sedikit sahaja diperlukan sudah cukup untuk meletup dan menyempurnakan pembakaran sempurna dalam enjin,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Pandu uji kenderaan menggunakan air atau Watefuel turut disertai oleh Pengarah Global Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Shanti Faridah Salleh dan Ketua Bahagian Tenaga dan Kemampanan UNIMAS, Dr Florianna Lendai anak Micheal Mulok.
Muhamad Haniff membangunkan inovasi Waterfuel bersama pasangannya, Nurul Hidayah Khirul Zaman, dan pembantu, Aliff Umair, Khalili Atan, Rafiza Ahmad.dan Wan Hayati Alias
Terdahulu, pandu uji kereta guna Waterfuel dilakukan bersama dua pensyarah dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berminat dengan projek inovasi itu.
Mereka melihat sendiri kesan perbezaannya.
Dalam pada itu, Muhamad Haniff yang juga jurutera elektrik berkata, hasil sampingannya ialah air yang boleh dilihat keluar melalui ekzos, dan bukannya karbon atau asap hitam.
“Berbeza dengan sel hidrogen, hidrogen sudah tentu sentiasa ada dalam bekasnya untuk tindak balas kimia bagi menghasilkan elektrik. Sebab itulah sel hidrogen dipanggil juga sebagai bateri generasi baharu, atau ‘Fuel Cell’.
“Ringkasnya, Waterfuel bukanlah bateri tetapi sel hidrogen adalah bateri,” katanya.
Ketika ditanya apa harapan kumpulannya dengan inovasi Waterfuel ini, Muhammad Haniff memberitahu secara faktanya semua tahu bahawa satu masa nanti fosil bahan api akan habis.
“Tenaga baharu diperlukan dan yang terbaik adalah air tetapi perkara paling penting ia bukan sahaja boleh digunakan untuk kenderaan.
“Ia boleh dijadikan sebagai generator elektrik untuk peniaga pasar malam, bot-bot nelayan, jentera-jentera berat pertanian dan bantuan pernafasan untuk perubatan.
“Jadi misi inovasi ini bukan terhad kepada automotif sahaja tetapi untuk banyak bidang lain dan manfaat manusia sejagat.
“Kami cuma tidak mampu menghasilkan bekas Waterfuel dalam bentuk cantik atau komersial kerana kekangan kewangan namun kami tahu potensinya luar biasa untuk manusia dan ekonomi negara,” katanya.
Orang ramai yang mahu mengetahui lebih lanjut boleh whatsapp 0193982700- MEDIA VARIASI