KUALA LUMPUR: Juara lapan kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengungguli tangga teratas Liga Super dengan 35 mata, selepas membenam Kuala Lumpur (KL) City FC 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.
Penyerang sensasinya, Bergson Da Silva membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti seawal minit keenam selepas Fernando Martin Forestieri dijatuhkan pemain pertahanan pihak lawan Giancarlo Gallifuoco.
Da Silva kemudian terus menambah luka pasukan kendalian Bojan Hodak itu apabila mudah membolosi pertahanan lawan dengan menambah jaringan pada minit ke-25.
JDT terus meningkatkan jurang pada babak kedua apabila pengadil Mohd Fusser Md Sallih menghadiahkan penalti yang disempurnakan Leandro Sebastian Velazquez selepas Arif Aiman Mohd Hanapi dijatuhkan Muhammad Anwar Ibrahim.
Tidak cukup sekadar tiga gol, skuad kendalian Hector Pablo Bidoglio itu sekali lagi membolosi gawang KL hasil penyudah penyerang Argentina, Forestieri pada minit ke-71 sebelum Muhammad Safawi Rasid menutup tirai jaringan 12 minit kemudian.
Keputusan 5-0 itu turut menyaksikan Bidoglio melakar kemenangan pertama beliau selaku Ketua Jurulatih baharu menggantikan Benjamin Mora.
Sementara itu pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Pahang menyaksikan pasukan Sri Pahang FC memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila menumpaskan Kedah Darul Aman FC 2-0 yang berada di tangga lebih atas.
Kedua-dua jaringan bergaya yang membolosi gawang pasukan pelawat itu merupakan hasil jaringan Andres Steven Rodriguez pada minit ke-31 dan 67 menjadikan kedudukan skuad Tok Gajah itu meningkat di tangga kesembilan liga.
Dalam pada itu perlawanan lain pula menyaksikan Terengganu FC (TFC) berkongsi satu mata dengan PJ City FC selepas seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Mata yang diperoleh menjadikan Terengganu berada di kedudukan kelima manakala PJ City FC kekal di tangga kedua akhir. – BERNAMA