KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan yang berlaku di pekarangan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, selepas tamat aksi final Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Zon ASEAN, malam semalam.
Presidennya, Khalid Abdul Samad berkata pihaknya sedia maklum berhubung insiden itu yang didakwa membabitkan penyokong pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC dan PSM Makassar, dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Saya amat kecewa dan marah dengan insiden yang berlaku semalam… saya sifatkan dilakukan oleh golongan pengacau. Saya juga ingin menafikan ada pihak KLFA mahupun pasukan KL yang terlibat.
“Tatkala pelbagai kejayaan dikecapi pasukan KL, perkara ini berlaku dan bagi saya ia agak malang buat kami… kita tak akan sesekali berkompromi dengan kejadian tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Khalid dalam pada itu, mendakwa ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mencalarkan imej serta nama KLFA dan pasukan KL, dengan tercetusnya insiden tersebut.
“Kejadian berlaku itu dilakukan bertujuan memburukkan nama persatuan selain dengki dengan kejayaan dicapai oleh pasukan KL,” katanya.
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial yang memaparkan insiden kekecohan dan pergaduhan, berlaku di pekarangan stadium tersebut malam semalam.
Dalam video itu, turut kelihatan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
Pada aksi final Zon ASEAN tersebut, KL City FC menewaskan kelab dari Indonesia PSM Makassar 5-2, sekali gus mara ke perlawanan ‘play off’ separuh akhir antara zon Piala AFC.
Berdasarkan laman sesawang rasmi AFC, skuad warga kota itu dijadual bertemu kelab India ATK Mohun Bagan. – BERNAMA