MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka merampas 12,000 liter minyak diesel bersubsidi dipercayai diseleweng dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Krubong, di sini kira-kira 2 petang semalam.
Pengarahnya Norena Jaafar berkata selain minyak diesel yang ditemukan dalam tangki tambahan lori dan tangki minyak, rampasan turut membabitkan dua lori tangki, dua tangki simpanan minyak, 20 tangki tambahan serta paip penyambung dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM186,000.
Beliau berkata serbuan dengan kerjasama polis itu hasil risikan selama dua minggu terhadap premis terbabit yang dijadikan stor penyimpanan dan penjualan haram serta kenderaan digunakan untuk kegiatan penyelewangan.
“Hasil siasatan mendapati modus operandi digunakan adalah dengan menggunakan lori satu hingga tiga tan mereka membuat isian antara RM300 hingga RM500 di setiap stesen minyak di sekitar negeri ini, selain berselindung dan menutup tangki menggunakan kanvas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Norena berkata semasa serbuan tiga lelaki tempatan dan dua warga Bangladesh yang merupakan pemandu dan kelindan lori serta penjaga stor berusia antara 37 dan 55 tahun turut ditahan.
Menurutnya kesemua lelaki tersebut direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata siasatan mendapati aktiviti penyelewangan itu aktif sejak lima bulan lepas dan mendapat permintaan daripada pihak industri yang membawa kenderaan mereka bagi memindahkan minyak diesel itu dari tangki simpanan di premis itu.
“Harga minyak diesel dibeli di pasaran adalah lebih murah iaitu RM2.15 seliter yang kemudian dijual dengan harga RM4.50 seliter kepada pihak industri.
“Kita juga mahu ingatkan kepada pihak industri supaya tidak membeli diesel melalui penjualan tidak sah kerana ia melanggar peraturan dan boleh dikenakan hukuman berat sekiranya didapati bersalah. Stesen minyak juga diminta memantau kegiatan ini sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan,” katanya. – BERNAMA