HomeSukanKurang siap siaga antara penyumbang kekalahan JDT - Hector

Kurang siap siaga antara penyumbang kekalahan JDT – Hector

SEPERTI diketahui, perjalanan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Liga Juara-Juara Asia (ACL) terhenti setakat Pusingan 16 musim ini.

Ini jawapan Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio dalam kenyataan yang dimuat naik Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

“Ini merupakan tahap tertinggi bola sepak di Asia, di mana ‘awareness’ dan ‘decision-making’ para pemain adalah sangat penting. Anda tidak boleh melakukan kesilapan.

“Kami dibolosi awal melalui sepakan penalti dan sepakan percuma, dan moral pemain mulai merosot.

“Kami juga tidak melakukan hantaran-hantaran biasa kami, sebaliknya melakukan hantaran bola jauh.

“Saya mengingatkan pemain supaya sentiasa berpegang kepada falsafah permainan kami. Kami menggerakkan bola dengan lebih baik pada separuh masa kedua dari segi cara kami mahu pasukan kami bermain,” katanya.

Pengendali berasal Venezuela itu akui bukan mudah bermain menentang kelab-kelab dari Jepun.

“Mereka adalah gergasi Asia dan Urawa juga merupakan juara ACL dua kali. Kami akan mempertingkatkan diri tetapi ianya akan mengambil masa.

“Pasukan ini telah menunjukkan kemajuan pada pertandingan ACL setiap tahun dan saya percaya ini akan berterusan sambil kami berusaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. Kami akan pulang dan terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi diri kami,” katanya.

Author

Pilihan Editor