KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menafikan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri beliau seperti yang disebut dalam satu laporan berita tular dikaitkan dengan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS).
Abdul Latiff berkata sebagai Anggota Kabinet, beliau sedia memberi kerjasama penuh jika pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya.
“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS, saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya sepertimana yang dinyatakan dalam berita tersebut,” kata Ahli Parlimen Mersing itu menerusi kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Zainab, yang merupakan isteri kedua Abdul Latiff, mempunyai kaitan dengan penyelewengan projek LCS.
Rafizi mendakwa Zainab adalah pemilik syarikat Alizes Marine Limited yang dikaitkan dengan isu LCS. – BERNAMA