HomeBeritaLesen vokasional penunggang p-hailing belum ditetapkan nama

Lesen vokasional penunggang p-hailing belum ditetapkan nama

PUTRAJAYA: Lesen vokasional khusus kepada penunggang penghantar makanan dan bungkusan (p-hailing) yang belum diberi penetapan nama, adalah berbeza dengan lesen penghantar barangan secara komersial (GDL) sedia ada.

Demikian menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam usaha menjelaskan bahawa lesen vokasional berkenaan khas untuk penunggang p-hailing sahaja.

Beliau berkata, penunggang hanya perlu mengikuti kursus pendek beberapa jam dan tidak perlu ke institut memandu, tidak membabitkan pemeriksaan terhadap kenderaan, selain kos dikenakan minimum tidak melebihi RM10.

Ia sekali gus menolak dakwaan dan kekeliruan bahawa penunggang p-hailing perlu membawa motosikal yang digunakan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) adalah tidak benar.

“Nama kita belum tentukan, tetapi yang pasti lesen vokasional untuk p-hailing secara pendaftaran murah dan mudah.

“Ia hanya membabitkan pembayaran token dan moratorium akan diberikan untuk tempoh pendaftaran itu.

“Ia tidak akan membebankan rakan penunggang p-hailing,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kementerian Pengangkutan, di sini petang ini.

Katanya, kerajaan sedaya upaya membantu kumpulan penunggang dan pemandu p-hailing ke arah kerjaya lebih baik, bukan untuk membebankan.

Sementara itu, katanya, perlu ada pendaftaran berkenaan untuk membolehkan kementerian mendapatkan data sebenar jumlah penunggang p-hailing dalam negara.

“Sebelum ini, data penunggang hanya boleh diperoleh daripada pengendali p-hailing (PHO), namun ia tidak mempunyai data yang lengkap membabitkan siapa yang masih aktif.

“Ia akan memudahkan apabila ada keperluan untuk pelan perlindungan dan bantuan. Saya tidak boleh menganggap semua pemegang lesen B2 sebagai penunggang p-hailing. Tidak boleh, ia kena ada kelebihan iaitu berdaftar dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan berhubung pemilikan lesen GDL untuk p hailing yang agak mengelirukan sebelum ini, dikongsi menerusi video Tiktoknya.

“Rider (penunggang) minta pembelaan, tapi kerajaan beri bebanan. Ada tiga sebab saya tidak setuju (lesen GDL).

“Lesen GDL untuk muatan berat seperti lori, treler, van dan posmen.

“Solusinya senang (data), tanya sahaja syarikat p-hailing dan dapatkan data daripada mereka.

“Rider hanya minta naikkan upah lantai, jika dulu lima kilometer (5km) dapat RM5, tetapi sekarang jarak sama upah dikurangkan kepada RM3. Begitu juga upah penghantaran sebelum ini dua tiga kali ganda, tetapi kini susah nak dapat,” kata Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu.

Author

Pilihan Editor